Wednesday, June 3, 2009

Aduhai Manohara…dan semua wanita

Aduhai Manohara…dan semua wanita
Dalam keterbukaan sistem maklumat kini, saya percaya pasti ada yang dapat membaca coretan hati saya ini. Ia berkaitan kes rumahtangga Manohara dengan Tengku TT.
Isu ini sebenarnya adalah isu terpencil. Yang menyebabkan ia dibesarkan ialah kerana melibatkan putera raja. Adapun putera raja juga adalah manusia biasa, tidak ada apa istimewanya. Jika salah, salahlah juga. Jika benar, benarlah juga.
Jadi, kenapa isu ini diperbesarkan?
Satu, kerana ia melibatkan nama besar, model dan putera raja.
Dua, kerana melibatkan penduduk dua negara, Indonesia dan Malaysia.
Tiga, kerana perkataan yang digunakan oleh Manohara ‘dera’ dan ‘seperti binatang’ adalah berat.

Perlu diperbetulkan persepsi-persepsi ini dulu. Pertamanya, ketepikan status dua manusia ini, anggaplah mereka manusia biasa yang kadang-kadang ada buat silap dan kadang-kadang bertengkar.
Kedua, tidak wajar dianggap ini masalah negara, tetapi adalah masalah individu. Justeru, generalisasi yang dibuat oleh Manohara, bahawa rakyat Indonesia dilayan seperti kelas kedua adalah tidak tepat.
Ketiga, Manohara perlu mendapatkan nasihat Qadi, dan bukan membentuk persepsi orang ramai.
Memang biasa, jika kahwin di usia muda ini, banyak cabarannya. Pertelingkahan adalah perkara biasa. Jadi, jika perlu orang ketiga, Qadi adalah orangnya.
Ada kemungkinan bahawa Manohara sebenarnya tidak dapat menyesuaikan diri sebagai menantu di raja. Sudah pasti, apabila bergelar kerabat di raja, kehidupan akan berubah. Cara pemakaian, cara berhadapan dengan rakyat, cara hidup di istana…mungkinkah ini sebabnya beliau tidak selesa? Kita tidak tahu, dan saya tidak tahu…
Namun, jika benar Manohara dianiaya, maka keadilan perlu dituntut. Kita berduka jika ada wanita yang didera, dan kita bersimpati. Tapi, bagi saya, penyelesaiannya bukanlah begini. Ia memalukan diri, rumah tangga, dan negara.

No comments: