Saturday, June 20, 2009

Indera Mahkota sudah berubah...

Dalam perjalanan ke kampus IMC tadi, sepanjang kiri dan kanan jalan kelihatan rancak sungguh pembangunan yang melanda Bandar Indera mahkota ini. Jika dibandingkan tahun dulu, semasa memulakan tahun pertama di kampus ini, masih ingat lagi bagaimana kebanyakan pelajar baru tersesat ketika mencari, di mana kampus UIAM? Sekitarnya hutan, di tengahnya kampus.

Ingat lagi ketika kami berlari-lari di waktu pagi, menghirup udara segar bersama kabus pagi. Kemudian kami disuruh mengikut senaman pagi yang diberi nama 'I-Aerobic' itu. Tidak mengapalah, yang penting, suasana pada masa itu sungguh menenangkan. Pada masa itu, terfikir pula, kenapa tempat ini dinamakan 'bandar'? 'Bandar' ke 'kampung'?

Sekarang, baru ternampak ke'bandar'annya! Di kiri dan kanan jalan, sibuk dengan pembangunan. Seven-eleven bersepah di mana-mana. Cyber cafe hanya berselang beberapa langkah. Bangunan sudah semakin bertambah. Perumahan sudah semakin muncul. Semuanya sudah bertambah. Cuma ada sahaja benda yang berkurang.

Pokok-pokok menghijau, bukit-bukit yang menjadi pasak bumi, kabus yang dahulunya menutupi bukit, dan budaya ketimuran...itulah yang berkurang. Mungkin inilah bayaran yang perlu diberikan kepada pembangunan sebegini. Pembangunan material yang membelenggu pemikiran para materialis.

Pembangunan yang begini hanya membantutkan usaha pembinaan tamaddun insan. Teringat ketika menonton cerita 'Sivaji'. Di dalam cerita tersebut, dipaparkan betapa semakin banyak pembangunan, semakin banyaklah ketirisan berlaku. Jika ini berlaku, maka rakyat tidak dapat dibangunkan sepenuhnya. Hanya golongan kaya yang akan terus kaya, dan golongan miskin akan terus papa kedana.

Berlakukah perkara tersebut di sini?

Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan tidak ada penyelewengan duit di sini. Mudah-mudahan tidak ada yang membangunkan tanah ini sambil meruntuhkannya. Mudah-mudahan tidak ada yang memajukan masyarakat ini sambil memundurkannya...

No comments: