Tuesday, November 3, 2009

Mahu Merungut atau Merubah?!

...Universiti ini sedang membangun, tetapi pelik sekali, dalam membangun kita meruntuh pula. Kita meruntuhkan kecintaan mahasiswa kepada universiti ini. Kita meruntuhkan rasa percaya mahasiswa kepada universiti ini. Kita meruntuhkan budaya yang sekian lama kita warisi dari universiti ini. Kita runtuhkan kelebihan mahasiswa di sini demi pembangunan yang tidak terurus...."

(Baca selanjutnya)

Friday, October 30, 2009

Peperiksaan...

Setelah menempuhi posting block kedua, finally kita kembali berdepan dengan peperiksaan. Setiap peperiksaan adalah penting bagi kita. Bagi aku, peperiksaan kali ini sedikit berbeza kerana aku sudah bergelar 'lelaki orang'. Sudah ada amanah dipikul di belakang. Sudah bertambah peranan. Mungkinkah aku akan dapat lakukan dengan lebih baik selepas ini? Itu semua bergantung kepada keadaan aku semasa hari peperiksaan nanti...(baca seterusnya)

Saturday, August 29, 2009

Pemikiran dan Pelajar Perubatan

Kepentingan Berfikir dan Pandangan Sarwa Islami

 

Dalam kehidupan seharian, berfikir adalah perkara yang tidak dapat dielakkan walau satu detik. Jika aktiviti ini dipinggirkan, maka pada saat itu jugalah, seseorang itu sebenarnya bukan lagi layak dipanggil 'manusia'. Proses berfikir sebenarnya adalah suatu proses yang kompleks, tetapi tidak pula disedari oleh manusia kerana mereka menganggap proses yang berlaku itu sebagai rutin. Sungguh sukar untuk mengawal pemikiran jika diri sudah menganggap ia sebagai suatu proses 'automatik'. Maka perkara ini perlu diubah supaya manusia kembali berada di atas jalan yang benar.

 

Proses berfikir merupakan suatu proses yang panjang. Di dalam tulisan ini, perkara ini tidak akan dibincangkan secara mendalam, kerana bukanlah hasrat penulis untuk membincangkan proses berfikir secara terperinci. Cuma perlu diingatkan di sini, seperti yang dikatakan oleh pakar terkenal, Edward De Bono, belajar cara berfikir adalah penting untuk menguasai diri dan keadaan. Jika tidak, sudah pasti keadaan akan menguasai diri kita.

 

Di dalam Islam sendiri, Allah menekankan proses berfikir ini di dalam banyak ayat, dengan istilah-istilah yang pelbagai. Ada yang dimaksudkan 'berfikir', ada yang dimaksudkan 'berakal', dan sebagainya. Apabila disebut proses berfikir, organ yang dimaksudkan adalah 'akal'. Inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan lainnya. Justeru, apabila manusia tidak lagi mahu menggunakan akal dengan baik, atau menidakkan keupayaan akal mereka, maka sudah pasti mereka akan bertukar menjadi 'haiwan berwajah manusia'. Ia dapat dilihat dalam individu yang mengambil arak, sehinggakan menekan fungsi akal, maka mereka akan bertindak agresif dan bercirikan haiwan yang ganas.

 

Komposisi Aqal dalam Diri Insan

 

Seperti yang dibincangkan oleh banyak pemikir-pemikir dan kini, aqal ini terdiri daripada dua komponen, sama juga dengan diri manusia. Komponen tersebut ialah komponen ruhaniahnya dan jasmaniahnya. Dalam istilah falsafahnya, seperti yang diberitakan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, komponen tersebut ialah 'Intellectus' dan 'Ratio' atau 'Reason'. Ia banyak dibincangkan kerana dengan penekanan yang berlebihan terhadap salah satu daripada komponen-komponen ini, maka akan terlahirlah insane yang tidak seimbang. Keseimbangan, atau keharmonian antara kedua-dua unsur inilah yang akan melahirkan aqal yang sihat, yang akan membawa insan ke arah jalan yang benar.

 

Intellectus adalah komponen yang digunakan dalam mendalami sesuatu yang berbentuk ruhaniah, abstrak, dan hakikat. Ia seringkali digunakan oleh pendeta dahulu kala, yang akibatnya mereka menyisihkan diri dari keduniaan yang zahiriah. Kebergantungan melampau terhadap Intellectus akhirnya membawa kepada kesesatan, kerana mereka akan hanyut dalam kekhayalan. Inilah yang berlaku dalam ketamadunan Yunani pada zaman Yunani Purbakala, yang mengkhayalkan bahawa alam dipenuhi dengan dewa-dewi.

 

Manakala Ratio pula digunakan untuk menafsiri alam fizikal dengan menggunakan pancaindera yang lima. Ia digunakan untuk menguasai alam tabii (fizikal). Dengan menggunakan Ratio secara berlebihan, maka tamadun Barat membina kepercayaan yang pelbagai, bermula daripada pengasingan agama dan kehidupan (sekularisme), dan akhirnya wujud fahaman Rationalisme dan falsafah sains moden. Penekanan terhadap Ratio yang melampau, akhirnya menghasilkan pensekularan dunia pada masa kini, manakala umat Islam menjadikan Barat sebagai contoh rujukan mereka.

 

Kepentingan Memahami Asas Pemikiran

Seperti yang dinyatakan di atas, memahami komponen aqal ini akan melahirkan insan yang memahami aliran pemikiran dunia. Setiap insan melakukan apa yang dilakukan berdasarkan apa yang difikirkannya. Jika salah cara berfikirnya, maka sudah pasti salahlah apa yang dilakukannya. Ia jelas dinyatakan di dalam hadith masyhur berkenaan dengan niat.

 

Sebagai contoh, jika seseorang terpengaruh dengan cara pemikiran Ratio yang terlampau, maka mereka akan mentafsirkan dunia berdasarkan alam fizikal atau material semata-mata. Jika ini berlaku, maka niat mereka akan bercampur-baur antara duniawi dan ukhrawi. Sampai suatu masa, mereka akan memikirkan, apalah sebenarnya yang mereka cari di atas dunia ini. Sedangkan dunia hanyalah perhiasan yang tidak kekal dan akhirat sahajalah yang kekal.

 

Berfikir adalah proses spontan, tetapi dicorakkan oleh suatu kerangka yang dibentuk berdasarkan pemahaman seseorang itu. Saintis, secara kebetulannya, banyak terjerumus dengan cara pemikiran Ratio yang meletakkan asas ilmu hanya pada deria yang mampu merasa. Jika tidak dapat dialami oleh deria-deria yang terbatas ini, maka bagi mereka, ia bukanlah suatu ilmu. Ini adalah penggunaan Ratio yang melampau, dan ternyata salah. Sedangkan Islam adalah agama yang asasnya ialah 'abstrak', tetapi ia juga suatu agama yang 'konkrit' (reason-bound).

 

Kedatangan ilmu atau maklumat bukanlah bersifat neutral, seperti yang dipercayai oleh ramai orang. Ilmu atau maklumat yang datang adalah berpaut pada pengolah atau penyampai ilmu tersebut. Jika mereka terpengaruh dengan kebendaan, maka ilmu tersebut juga akan terpengaruh dengan kebendaan. Itulah yang dikhuatirkan apabila berlakunya proses globalisasi. Kita pula dilambakkan oleh pelbagai ideologi dan ilmu dari Barat, yang secara umumnya dipengaruhi pemikiran materialistik.

 

Asas Pandangan Sarwa Islami (Tasawwur Islami, Islamic Worldview)

Setelah memahami proses yang wujud dalam menghasilkan sesuatu pemikiran atau kebudayaan (secara ringkasnya), maka perlu difahami bahawa sesungguhnya amat penting bagi Umat Islam memahami keperluan membetulkan cara mereka berfikir. Cara berfikir yang betul akan melahirkan suatu evolusi ke atas tindakan dan kebudayaan sesuatu kaum. Maka asas kepada cara pemikiran inilah yang disebut Pandangan Alam Islami ataupun Islamic Worldview.

 

Menurut Prof Syed Muhammad Naquib, Pandangan Alam bermaksud pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang terlihat oleh alam fizikal. Maka, tidak dapat tidak, petunjuk Qurani amat diperlukan dalam menyantuni maksud ini. Setiap yang dilihat atau didengar, atau dirasa, atau dihidu, atau disentuh, akan diselarikan dengan apa yang ditentukan olah Allah. Ia akan membawa manusia kepada agama atau pemahaman yang tulus dan murni.

 

Maksud yang dinyatakan di atas tidak akan tercapai jika pemikiran insan tidak dibersihkan daripada anasir-anasir yang tidak benar. Hanya apabila perkara ini tercapai, insan akan kembali kepada fitrah. Dan apabila aqal menjadi sahih, ia akan layak memikul amanah atau teklifan sebagai penterjemah kepada agama yang sebenar.

 

Kepentingan Terhadap Pelajar Perubatan UIAM

Sesungguhnya, perkara ini sudah lama dijalankan oleh universiti kita ini. Proses desekularisasi adalah suatu proses memurnikan pemikiran pelajar daripada terpengaruh dengan pelbagai pemikiran yang terpesong. Maka para pelajar perlu memahami mengapakah proses ini berlaku dan bagaimanakah untuk menaggapinya.

 

Sumber ilmu yang diperolehi kita adalah daripada Barat. Sesungguhnya, ia bukanlah suatu yang neutral keseluruhannya, tetapi perlu ditanggapi oleh kita semua dengan baik. Perlu menjadi lebih kritikal dalam menerima setiap yang diperolehi, tetapi perlu ditanggapi dengan penuh hikmah. Inilah dinamakan 'kritis-hormat', kerana hormat datang dengan ilmu yang ada. Tanpa melakukan perubahan pemikiran ini, maka pelajar akan terus dibayangi pemikiran yang salah. Apabila wujud pemikiran yang benar, maka akan muncul cambahan-cambahan ilmu yang muncul daripada pemurnian ilmu yang diperolehi daripada Barat, seperti yang berlaku semasa zaman keemasan tamadun Islam, yang merombak pemikiran Tamadun Yunani dan Romawi.

 

 

Tujukan:

  1. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Syed Muhammad Naquib al-Attas
  2. Artikel Seminar Ta'dib Islami, oleh Dr. Mohd Zaidi b. Ismail, Faham Akal dalam Islam dan Barat: Suatu Tinjauan Ringkas
  3. Falsafah Hidup, Prof Dr. Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)

Friday, August 14, 2009

Falsafah Ilmu Perubatan

Falsafah Ilmu Perubatan

Oleh: Ahmad Safwan Mohamad

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari dari berbicara tentang sejarah. Sejarah adalah suatu 'jalan' atau 'track' yang sedia terbina, yang kemudiannya, manusia akan melalui atasnya. Setiap kali di persimpanga, manusia akan memilih, sama ada ke kiri atau ke kanan. Tanpa disedarinya, sebenarnya jalan itu sedang menuju ke suatu arah yang telahpun ditentukan penghujungnya. Jika tidak diteliti dengan baik, maka manusia akan terus berjalan sampailah ke penghujungnya, seperti si buta yang tiada tahu apakah di hadapannya.

Bagi manusia, itu adalah lumrah alam. Bagi mereka yang egois, mereka lebih rela melakukan 'try an error' dan jika bertemu jawapannya nanti, baharulah mereka akan berkata, "ooh…begitu caranya." Sebenarnya, ada cara lain yang lebih bijaksana. Pepatah ada mengatakan "A wise man learns from his experience. A wiser man learns from others."

Itulah gunanya sejarah. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda, "Binasalah orang yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali." Sebab itu jugalah Al-Quran penuh dengan cerita-cerita sejarah yang menjadi "ibrah". Jika manusia bijak membaca sejarah, bijak memanipulasi sejarah, dan bijak mencipta sejarah, pasti mereka akan berjaya.

Itulah falsafah sejarah. Dari segi definisi, falsafah bermaksud 'penggemar ilmu' atau 'penggemar hikmah', daripada perkataan 'pilos' dan 'sofos'. Ini adalah apa yang dikatakan oleh Buya Hamka. Seperti istilahnya, orang berfalsafah bermaksud orang yang bercirikan gemar kepada hikmah. Justeru, tidak salah jika dikatakan, falsafah perubatan bermaksud suatu pendirian atau kecenderungan untuk menyelidiki hikmah dalam bidang perubatan.

Diri ini adalah kerdil dalam dunia yang besar ini. Mungkin dari segi umurnya, lebih ramai yang lebih dewasa dan tidak mahu menerima pandangan kecil diri ini. Jika usia sebagai petandanya, maka bagaimana Rasulullah S.A.W boleh berdakwah kepada ummatnya yang lebih tua daripadanya? Abu Jahal sendiri lebiih tua daripada Rasul. Jika ini analoginya, bukankah usia tidak melambangkan apa-apa?

Maka, bertitik-tolak daripada kesedaran ini, digagahi juga penulisan karya kecil ini. Mudah-mudahan akan ada tenaga-tenaga besar lain yang akan menambah-baik kekurangan-kekurangan yang ada di dalam lontaran idea diri kerdil ini.

Adapun falsafah Islami bermula daripada kesedaran bahawa ilmu itu datangnya dari Tuhan. Bahawa sesungguhnya, jika tiada sifat ketuhanan dalam sesuatu perkara, nescaya bukanlah perkara itu dikategorikan sebagai ilmu. Pelbagai definisi cuba diberikah untuk menjustifikasi perkara ini. Tetapi kebenaran tetap timbul. Ilmu yang tidak membawa kepada ketuhanan itu akhirnya hanyalah menjadi susunan-susunan maklumat, bukanlah ilmu yang sebenarnya.

Apabila ditanggapi dari aspek perubatan, sudah pastilah maklumat perubatan itu akhirnya tidak ke mana-mana. Kadang-kala maklumat itu akhirnya membawa manusia jauh dari rahmat Ilahi. Apabila manusia sudah penuh dengan maklumat, maka mereka merasakan diri mereka sudah sempurna. Lihat sahaja bagaimana Charles Darwin menanggapi teori evolusinya sehinggakan dirinya sendiri terkeliru dengan kebenaran yang hakiki. Maklumat yang ada di dalam diri manusia tidak mencukupi untuk menggelarkan diri mereka sebagai ilmuan.

Akhirnya, jadilah mereka seperti robot atau komputer yang menyimpan banyak maklumat. Mereka hanya perlu menekan suis-suis tertentu, maka input dan output akan terhasil. Sedangkan konsep ilmu dalam Islam adalah lebih besar daripada itu. Ilmu memerlukan 'tadabbur'. Apabila perkataan 'berfikir' digunakan, ia bererti aktiviti menggunakan organ otak. Apabila perkataan 'tadabbur' digunakan, maka ia bermaksud aktiviti hati.

Seperti yang dikatakan oleh Prof Sidek Baba, jiwa ilmuan akan memiliki jiwa tadabbur. Jiwa tadabbur hanya terbangun apabila ada unsur rabbani dalam diri manusia. Unsur rabbani pula hanya akan terlahir apabila manusia kembali kepada fitrah sebenar kejadiannya.

Segala jenis maklumat yang diperolehi oleh para pelatih kedoktoran pada masa kini dipelopori oleh Barat, yang kebanyakannya tidak mempercayai konsep ilmu itu sendiri. Sebab itu, istilah 'profesional' timbul di celah-celah kekusutan Barat menangani kemelut Gereja dan Saintis. Pelbagai istilah lain juga timbul yang akhirnya bermaksud mengasingkan aspek 'ruhaniah' dan 'jismiah' sesuatu ilmu itu.

Lalu apabila ditanya kepada para pelajar perubatan, apakah yang mereka mahu jadi selepas ini? Maka ramai yang akan menjawab, untuk menjadi doktor yang mampu mengubati ramai pesakit. Pelafazan itu nampaknya seperti biasa, kerana masyarakat sudah menjadikan unsur materialis sebagai suatu kebiasaan. Ramai yang tidak lagi mempercayai unsur batiniah atau idelisme yang berbentuk kesamaran atau tidak dapat dianalisis oleh pancaindera manusia.

Mereka kira apabila sudah boleh mengubati ramai pesakit, maka mereka sudah berjaya. Sedangkan yang mengubati penyakit itu adalah Tuhan. Mereka mengambil kira dari sudut bilangan. Mereka juga mengambil kira dari sudut produktiviti kerja pesakit dan sebagainya. Inilah unsur materialistik yang meresapi diri petugas perubatan hari ini.

Jika dilihat kembali, ini adalah hasil daripada pandangan sarwa atau worldview yang diserapkan ke dalam diri mereka. Maklumat dilimpahkan sebagai sesuatu yang 'kosong'. Jika ditadabburkan, maka hasilnya pasti akan melahirkan ilmuan yang terbilang.

Sebagai konklusinya, sebenarnya, yang menjadikan manusia hidup bukanlah maklumat. Yang membezakan manusia dengan komputer adalah ilmu. Ilmu perlu ditanggapi dengan jiwa tadabbur, yang terhasil daripada 'mindset' atau pandangan sarwa yang betul dan tepat. Kekeliruan saintis pada masa kini adalah kerana mereka tidak mempunyai asas yang kuat tentang alam, kerana mereka tiada rujukan yang tetap. Mereka akan terus mengubah pendirian kerana alasannya, dunia sentiasa berubah. Mereka akan sentiasa dipengaruhi oleh 'perubahan' yang berlaku., sedangkan 'perubahan' pula dipengaruhi oleh kekuatan pengaruh sesuatu bangsa. Maka, adakah manusia akan terus menjadi lalang yang akan melentuk mengikut angin? Atau menjadi aliran air yang kuat yang akan menundukkan lalang ke satu arah yang tetap?


Sunday, August 2, 2009

Respon Awal Muktamar Belia Islam

Respon Awal Muktamar Belia Islam

Assalamualaikum w.b.t,
Alhamdulillah. Berakhir sudah MBI kali ke-38. Teka-teki dan harapan semuanya terjawab sudah. Alhamdulillah, peralihan berlaku dengan tenang dan tenteram. Tiada apa yang di luar jangkaan; semuanya sudah tersurat dan sudah menjadi budaya ABIM; yang patah tumbuh, yang hilang berganti. Tahniah dan takziah kepada yang terpilih memimpin gerakan belia Islam yang tersohor ini. Manakala yang pergi, terima kasih atas jasa dan budi menerajui gerakan ini. Mudah-mudahan berjumpa lagi di hari pembalasan dan kita semua berada di dalam kelompok mujahidin bersama para pejuang lain sepanjang zaman.

Baca seterusnya...

Sunday, July 5, 2009

Idealisme Mahasiswa

Pelbagai tohmahan dan kecaman diberikan kepada mahasiswa kebelakangan ini kerana 'idealisme' yang mereka perjuangkan. Tak kurang juga, ada pihak yang memuji golongan ini kerana perjuangan mereka. Percanggahan ini semakin hari mewujudkan krisis yang kritikal di dalam hati mahasiswa. Mereka terperangkap di antara mahu dan takut akibat persepsi-persepsi yang terbina ini. Jika dituduh bersalah, akan dikenakan tindakan undang-undang yang akan menggugat masa depan, tetapi jika tidak buat apa-apa, siapa lagi mahu berjuang?

(Baca selanjutnya...)

Sunday, June 21, 2009

Seimbas tentang Tamrin Qiyadi Kebangsaan

Assalamualaikum...

Pengalaman yang mengujakan! Itulah kata-kata yang selalu dikeluarkan oleh mereka yang menyertai latihan ESQ, dan ada yang mempromosikan kepada rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah. Hidayah itu milik Allah. Hanya Dialah yang berhak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Bukanlah niat di hati untuk bercerita tentang latiha ESQ, kerana diri sendiri juga belum pernah menyertainya. Terdapat satu lagi program yang juga menyentuh hati kecil ini, iaitu Tamrin Qiyadi yang baru diadakan baru-baru ini. Sungguh mengujakan. Pelbagai persoalan telah terungkai. Pelbagai permasalahan dapat diselesaikan.

Bertempat di tanah keramat, di pondok moden yang bersungguh-sungguh menaikkan semula tasawwuf dan selawat. Menentang kejumudan dan kekerasan golongan reformis-modenis, yang kian kehilangan adab. Maka kami bertapak di sini mengambil keberkatan di bumi Allah ini. Indah pemandangan di sini, tatkala malam menjelma, lampu kehijauan menerangi persekitaran ini. Dengan menanggalkan kasut, kami berjalan ke dalam surau yang sejauh lebih kurang 20 meter. Memang begitulah adabnya, menjadikan keseluruhan tempat di luar surau itu sebagai suci.

Berbicara tentang sufi, ia menekankan tentang adab-adab menuntut ilmu. Ia berbicara tentang adab menjaga hati. Ia berbicara tentang ruh. Bukan sekadar hukum, kerana Islam itu sendiri terdiri daripada tiga unsur penting, Iman, Islam, dan Ihsan. Ia terdiri daripada Tauhid, Fekah, dan Tasawwuf.

Di dalam program ini, peserta disaran menghafal Surah Taha, di samping menghabiskan tadarus satu juzuk setiap kumpulan. Pada malam kedua, kami menyertai penduduk setempat berzanji dan berqasidah. Ini yang sangat ditentang oleh reformis-modenis. Tetapi, biarlah mereka dengan sikap mereka.

Kelainan dapat dirasakan di dalam program ini. Dengan penyertaan penceramah-penceramah yang tidak asing lagi, presiden Abim, presiden PKPIM, mantan presiden PKPIM, mantan timbalan presiden yang juga personaliti TV1, dan SUA Abim, slot-slot mereka memberikan pengisian yang sangat bermakna.

Diharap, program sebegini akan dapat memberikan suntikan semangat kepada para petugas Islam sehingga mereka dapat membawa panji perjuangan balik ke kampus-kampus dan negeri masing-masing.

Saturday, June 20, 2009

Indera Mahkota sudah berubah...

Dalam perjalanan ke kampus IMC tadi, sepanjang kiri dan kanan jalan kelihatan rancak sungguh pembangunan yang melanda Bandar Indera mahkota ini. Jika dibandingkan tahun dulu, semasa memulakan tahun pertama di kampus ini, masih ingat lagi bagaimana kebanyakan pelajar baru tersesat ketika mencari, di mana kampus UIAM? Sekitarnya hutan, di tengahnya kampus.

Ingat lagi ketika kami berlari-lari di waktu pagi, menghirup udara segar bersama kabus pagi. Kemudian kami disuruh mengikut senaman pagi yang diberi nama 'I-Aerobic' itu. Tidak mengapalah, yang penting, suasana pada masa itu sungguh menenangkan. Pada masa itu, terfikir pula, kenapa tempat ini dinamakan 'bandar'? 'Bandar' ke 'kampung'?

Sekarang, baru ternampak ke'bandar'annya! Di kiri dan kanan jalan, sibuk dengan pembangunan. Seven-eleven bersepah di mana-mana. Cyber cafe hanya berselang beberapa langkah. Bangunan sudah semakin bertambah. Perumahan sudah semakin muncul. Semuanya sudah bertambah. Cuma ada sahaja benda yang berkurang.

Pokok-pokok menghijau, bukit-bukit yang menjadi pasak bumi, kabus yang dahulunya menutupi bukit, dan budaya ketimuran...itulah yang berkurang. Mungkin inilah bayaran yang perlu diberikan kepada pembangunan sebegini. Pembangunan material yang membelenggu pemikiran para materialis.

Pembangunan yang begini hanya membantutkan usaha pembinaan tamaddun insan. Teringat ketika menonton cerita 'Sivaji'. Di dalam cerita tersebut, dipaparkan betapa semakin banyak pembangunan, semakin banyaklah ketirisan berlaku. Jika ini berlaku, maka rakyat tidak dapat dibangunkan sepenuhnya. Hanya golongan kaya yang akan terus kaya, dan golongan miskin akan terus papa kedana.

Berlakukah perkara tersebut di sini?

Mudah-mudahan tidak. Mudah-mudahan tidak ada penyelewengan duit di sini. Mudah-mudahan tidak ada yang membangunkan tanah ini sambil meruntuhkannya. Mudah-mudahan tidak ada yang memajukan masyarakat ini sambil memundurkannya...

Tuesday, June 9, 2009

Fw: SIS tu apa?



--- On Tue, 6/9/09, ahmad safwan mohamad <eone85@yahoo.com> wrote:

From: ahmad safwan mohamad <eone85@yahoo.com>
Subject: SIS tu apa?
To: eone85.blog@blogger.com
Date: Tuesday, June 9, 2009, 9:14 AM

Sisters in Islam (SIS) cuba mempelopori suatu budaya mempersoalkan tanpa mebawa erti keintelektualan sebenar. Mempersoalkan sesuatu memang dibenarkan. Tetapi mempersoalkan perkara yang sudah mendapat ijma' ulamak atau yang jelas dinyatakan di dalam dalil qat'i, adakah ini waras, dari sudut pandangan Islam?
 
Perlu ada siasatan secara terperinci tentang ke'Islam'an SIS. Kalau benar mereka 'Islam', maka tidak mengapalah, dan teruslah berpolemik. Tetapi jika tidak, bertaubatlah...


Wednesday, June 3, 2009

Abg Mat punya cerita...


PAS bukan mahu
ganti Umno-BN,
tetapi jayakan pembaharuan
15-17 Ogos 2008

KUALA LUMPUR , Nabi Muhammad S.A.W tidak mengambil kuasa (menolak peluang) di Makkah walaupun ada tawaran pemerintah untuk berbuat demikian. Kuasa yang diambil yang tidak menyeluruh (absolute) menyebabkan Nabi tidak dapat membuat ‘reform’ (perubahan) yang menyeluruh. Semata-mata untuk menjadikan ketua negara, tanpa boleh berbuat apa-apa terhadap sistem dan amalan jahiliah , ia ditolak oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi Muhammad S.A.W tidak menolak untuk mengambil kuasa dan mengetuai pentadbiran Madinah, kerana kuasa ‘absolute’ dapat digunakan untuk membuat ‘reform’ terhadap sistem negara dan kemasyarakatan. Di sinilah timbulnya istilah ‘keruntuhan jahiliah dan ditegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliah itu’.

Nabi Muhammad S.A.W telah menunjukkan cara-cara mengawal harta negara termasuk daripada Baitulmal, layanan terhadap pedagang dan pelancong, hubungan diplomatik, cara mengelak nepotisma harta kepada keluarga, hubungan rumah tangga dan kemasyarakatan dan perkara-perkara lain yang menyentuh kehidupan manusia dalam hubungan manusia, alam dan ketuhanan. Nabi Muhammad S.A.W telah membuat ‘reform’ yang menyeluruh yang menyentuh segala aspek kehidupan manusia.

Nabi Muhammad S.A.W yang bersifat suci lagi disucikan sudah tentu menjadi manusia yang sempurna menjalankan tugas sebagai manusia pilihan ALLAH untuk membimbing manusia. Nabi Muhammad S.A.W yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Sebagai umatnya kita tidak sempurna, tetapi menjadi teladan, ikutan kepada kita.

Sejarah telah menunjukkan peristiwa-peristiwa ‘reform’ yang dibuat sepanjang zaman oleh tokoh-tokoh individu atau kumpulan. ‘Reform’ dibuat oleh Imam Hussein apabila penyelewengan berlaku dengan nyata, ‘reform’ dibuat oleh masyarakat Eropah selepas Perang Dunia II yang melahirkan Eropah yang moden sekarang ini, ‘reform’ yang dibuat oleh Mahatma Gandhi, yang menjadi idola pejuang rakyat dan kemasyarakatan, ‘reform’ juga dibuat oleh Mao Tze Tung yang melahirkan kekuatan Cina pada hari ini.

Perjuangan PAS bukan untuk mengambil alih tempat umno sebaliknya untuk membuat perubahan di atas keruntuhan umno-BN itu. Kalau semata-mata untuk mengambil alih tempat pemerintahan umno-BN tanpa melakukan ‘reform’ maka perjuangan kita akan dilihat sia-sia sahaja.

Pemikiran Melayu feudal (feudalism) mesti diubah untuk melahirkan masyarakat yang progresif, berani, bertanggung jawab berdasarkan kepada paksi Islam. Kalau kita mengambil alih, masyarakat dan kita masih bergelumang dengan sistem dan paksi yang sama, maka ‘reform’ pada masyarakat tidak akan berlaku. Hanya yang bertukar jawatan Menteri Besar, Exco dan wakil rakyat, tetapi sistem korup (rasuah, nepotisma, fendalistik) berjalan seperti biasa. Hanya berlaku pertukaran jawatan dan slogan, tanpa berlaku perubahan sistem nilai dalam masyarakat.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba membuat ‘reform’ dalam masyarakat. Menjadi Menteri Besar bukan bertujuan mencari kekayaan peribadi atau keluarga. Beliau lebih mengutamakan perubahan dalam sistem masyarakat feudal Melayu yang meletakkan Ketua Negara atau negeri sebagai ‘maksum’, hiburan yang melanggar tata hidup manusia dinyahkan dan cuba membina masyarakat saling hormat di atas kebenaran dan ketelusan bukan di atas pangkat dan darjat. Pernah kami sebagai wakil rakyat di Kelantan dilarang oleh Tok Guru Nik Aziz menghadiri program hiburan melibatkan penyanyi wanita walaupun dianjur oleh pihak istana.

Tidak membawa kereta kerajaan (harta rakyat) dalam kempen-kempen pilihan raya kecil atau besar. Harta rakyat bukan harta peribadi, saranan dan seruan Tok Guru cuba diikuti oleh anak-anak buahnya. Apakah selepas peninggalan Tok Guru, ‘reform’ yang dibuat itu akan dijalankan terus? Keadaan yang membimbangkan mula ketara di dalam pemikiran saya. Lim Guan Eng berani mengisytiharkan secara rasmi untuk memerintah cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Bererti beliau akan cuba pisahkan harta awam (rakyat) dan harta peribadi secara maksimum. Mungkin tidak sampai seperti Umar tetapi sekurang-kurangnya beliau berazam untuk berbuat demikian.

Pada 16 Julai, Ketua Menteri Pulau Pinang melancarkan program e-perolehan iaitu tender terbuka melalui Internet, dimana tidak lagi perlu ‘kabel’ untuk mendapatkan projek kerajaan negeri. Sistem ini di Finland, Australia dan New Zealand untuk menghapuskan rasuah ke arah sifar. Moga-moga wang awam tidak lagi bocor (tiris) begitu banyak dalam perjalanan pembangunan.

Kalau semata-mata ambil alih kerajaan daripada umno-BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk menukar jawatan MB (KM), Exco, Adun, Ahli Majlis, Penghulu tetapi sistem feudal berjalan seperti biasa, amatlah malang bagi pejuang Islam yang sanggup menggugurkan darah mereka untuk meruntuhkan jahiliah dan menegakkan Islam (kebenaran) di atas keruntuhan itu.

Insya ALLAH pejuang kita (pejuang rakyat) tidak menjadikan Tun, Tan Sri, Dato’ dan gelaran dunia sebagai idaman dan bahan perbualan di kalangan kita dan pimpinan bukan bualan dan azam untuk menukar sistem jahiliah feudal kepada sistem Islam yang membawa keredaan Ilahi.

Oleh : Hj Mohamad Sabu

-Tulisan di Harakah: Edisi 1366 (15-17 Ogos 2008)-

Pas dan Grandiositi


Dalam banyak perkara yang aku lihat pada Pas, setakat ini, memang tidak dapat diafikan Pas adalah Parti yang paling lama bertapak di Malaysia dan paling stabil. Mungkin secara luaran, sebab Pas sentiasa mengamalkan dasar ‘pintu tertutup’, mungkin hasil konsep ‘Sir’. Cara ini sedikit sebanyak dapat mengawal liberalisasi yang melanda banyak organisasi. Sehingga kini, banyak persoalan dapat diselesaikan secara dalaman.

Namun, setiap perkara yang baharu pasti ada kelemahannya. Dasar yang dipakai oleh Pas ini sedang dilanda ombak yang besar, hasil globalisasi yang melanda dunia. Pimpinan mudanya juga semakin mengamalkan keterbukaan dalam urusan. Kepimpinan ‘ulama sepenuhnya’ semakin dipersoalkan dan dikritik. Keterbukaan ini adalah selari dengan usaha tajdid, dan budaya ilmu sendiri sebenarnya menggalakkan keterbukaan dan berfikiran kritis.

Keterbukaan pemikiran ini akhirnya menghasilkan kerjasama-kerjasama erat antara parti-parti politik yang pada mulanya tidak sehaluan. Maka lahirlah Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Usaha memenangi pilihanraya nampaknya berhasil pada PRU yang lepas, hasil usahasama ini.

Tetapi malangnya, sikap Pas sendiri yang sudah lama menjadi budaya Pas masih belum dapat dibuang. Pas masih menganggap bahawa dialah yang memimpin negara dan ummat. Dialah yang menjadi harapan rakyat. Dialah yang satu-satunya bakal menggantikan UMNO. Pas sentiasa dibelenggu perasaan ‘Grandious’, rasakan dirinyalah yang paling hebat.

Kalau tak percaya, carilah petikan-petikan yang dibuat oleh pimpinan-pimpinan Pas. Amat jarang anda temui pimpinan Pas bercakap pasal Pakatan Rakyat, tetapi banyaknya bercakap pasal Pas sahaja.

Pas rasakan merekalah yang menentukan masa depan negara. Sebenarnya, dalam PRU yang lepas, PKRlah yang banyak memainkan peranan, kalau nak difikirkan begitu. Tetapi amat jarang kita dengar PKR bercakap tentang PKR sahaja. PKR akan bercakap tentang Pakatan Rakyat.

Pas masih lagi mangaggap dirinya mampu bergerak sendirian. Tukarlah pemikiran anda. Anda tidak akan dapat melakukan apa-apa jika tanpa rakan-rakan dalam PR. Usaha anda untuk menarik Non-Muslim ke dalam Pas juga sebenarnya kejayaannya banyak bergantung pada rakan-rakan anda yang lain. Janganlah terlalu bongkak. Pas patut banyak beristighfar. Sikap mengangkat diri sendiri itu tidak patut dibiarkan menjadi darah daging Pas. Tidak mustahil pada masa depan, Pas akan memimpin PR menggantikan PKR jika ketulusan Pas dalam bersahabat Berjaya ditonjolkan. Itulah harapan masyarakat marhaen, agar Pas dapat dineutralkan.

Sekarang bukan masanya memikirkan tentang ‘perut saya’, tetapi fikirkanlah tentang ‘perut kita’…

Aduhai Manohara…dan semua wanita

Aduhai Manohara…dan semua wanita
Dalam keterbukaan sistem maklumat kini, saya percaya pasti ada yang dapat membaca coretan hati saya ini. Ia berkaitan kes rumahtangga Manohara dengan Tengku TT.
Isu ini sebenarnya adalah isu terpencil. Yang menyebabkan ia dibesarkan ialah kerana melibatkan putera raja. Adapun putera raja juga adalah manusia biasa, tidak ada apa istimewanya. Jika salah, salahlah juga. Jika benar, benarlah juga.
Jadi, kenapa isu ini diperbesarkan?
Satu, kerana ia melibatkan nama besar, model dan putera raja.
Dua, kerana melibatkan penduduk dua negara, Indonesia dan Malaysia.
Tiga, kerana perkataan yang digunakan oleh Manohara ‘dera’ dan ‘seperti binatang’ adalah berat.

Perlu diperbetulkan persepsi-persepsi ini dulu. Pertamanya, ketepikan status dua manusia ini, anggaplah mereka manusia biasa yang kadang-kadang ada buat silap dan kadang-kadang bertengkar.
Kedua, tidak wajar dianggap ini masalah negara, tetapi adalah masalah individu. Justeru, generalisasi yang dibuat oleh Manohara, bahawa rakyat Indonesia dilayan seperti kelas kedua adalah tidak tepat.
Ketiga, Manohara perlu mendapatkan nasihat Qadi, dan bukan membentuk persepsi orang ramai.
Memang biasa, jika kahwin di usia muda ini, banyak cabarannya. Pertelingkahan adalah perkara biasa. Jadi, jika perlu orang ketiga, Qadi adalah orangnya.
Ada kemungkinan bahawa Manohara sebenarnya tidak dapat menyesuaikan diri sebagai menantu di raja. Sudah pasti, apabila bergelar kerabat di raja, kehidupan akan berubah. Cara pemakaian, cara berhadapan dengan rakyat, cara hidup di istana…mungkinkah ini sebabnya beliau tidak selesa? Kita tidak tahu, dan saya tidak tahu…
Namun, jika benar Manohara dianiaya, maka keadilan perlu dituntut. Kita berduka jika ada wanita yang didera, dan kita bersimpati. Tapi, bagi saya, penyelesaiannya bukanlah begini. Ia memalukan diri, rumah tangga, dan negara.

Friday, April 10, 2009

AUKU Melesukan Mahasiswa -Dato' Saifuddin Abdullah


AUKU MELESUKAN GERAKAN MAHASISWA

Akhirnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai 2008), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin telah membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan dalam sidang Ogos ini.



Ini bermakna bahawa perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil.



Saya turut terlibat dalam perjuangan meminda akta ini sejak menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya pada 1981. Saya juga pernah menjadi mangsanya pada 1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan BN hari ini, ia bersetuju memindanya.



Kali terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah dalam kolum saya (“Perspektif”) di akhbar ini iaitu ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan di dua buah IPTA.



Isu-isu itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu, Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih baik.



AUKU tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi merosot di tujuh buah IPTA manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang.



AUKU juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.



Sebelum cadangan pindaan ini, terdapat tiga pendirian tentang AUKU. Pendirian pertama, ialah AUKU baik bagi mahasiswa. Pendirian kedua, ialah AUKU perlu dihapuskan dan diganti dengan akta baru. Dan pendirian ketiga, ialah peruntukan-peruntukan tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada pendirian ketiga ini.



Mereka yang berpegang pada pendirian pertama menganggap AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka menggunakan data tentang banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa yang sebenar.



Ini kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”. “Advokasi” adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis “aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan mahasiswa yang sihat dan segar.

Mereka juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik, tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini berlandaskan faham politik yang sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya.



Alasan lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapakah yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah ini juga double standard kerana ada mahasiswa kita di luar negara yang mendapat biasiswa yang lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak duit rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik.



Ada pula yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?



Di samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang, dengan menjadi anggota parti politik, yang larangannya bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara dan pilihan raya umum. Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum, mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik?



Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa. Pada pertengahan tahun 70-an, ramai aktivis mahasiswa ditahan yang menyebabkan sebahagian gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tinggal anggota bukan mahasiswa. Majlis Belia Malaysia (MBM) terputus jembatannya dengan kampus.



Banyak tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan Zainah Anwar, telah membincangkan kesan-kesan buruk AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap “tidak apa” di kampus. Manakala Idris Ahmad dan Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan terhadap kehadiran parti-parti politik di kampus dan tindakan keterlaluan terhadap beberapa orang mahasiswa yang kononnya didapati bersalah.



Kerana itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi pendekatannya, tetapi, kedua-duanya mempunyai premis yang hampir sama dari segi penentangan terhadap AUKU.



Dalam hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1).



Ini kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, mahasiswa disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera, sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan membuat kenyataan media.



Adakah dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba sahaja kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan mahasiswa, iaitu seperti yang berlaku sebelum zaman AUKU?



Tiada siapa yang tahu jawapannya. Ini kerana setelah sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkannya semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi “mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.



Tetapi, sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan peruntukan-peruntukan yang drakonian. Ia mungkin dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada faktornya.



Namun, AUKU bukan sekadar melibatkan mahasiswa sahaja. Ia turut melibatkan pensyarah. AUKU juga bukan sekadar hal ehwal politik kampus sahaja. Sebaliknya, ia adalah antara dasar utama tentang menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang sebenar.



Satu daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi tidak hanya melibatkan bidang politik. Sebaliknya, demokrasi melibatkan hampir seluruh spektrum kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi juga.



Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk sahaja, kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal. END

Monday, April 6, 2009

harakah menulis

NAMPAKNYA Umno/BN benar-benar tersepit di Bukit Gantang dan terpaksa menjaja isu derhaka untuk menarik sokongan orang Melayu. Kononnya calon PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin penderhaka besar! Iklan



Umno memberitahu rakyat bahawa pemimpin PAS adalah penderhaka kepada sultan dan tidak patut dipilih dalam pilihan raya. "Umno tidak pernah derhaka," kata bekas Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib juga mewar-warkan bahawa Nizar adalah seorang penderhaka. Inilah wayang yang dimainkan oleh pemimpin Umno di Bukit Gantang untuk mengabui mata rakyat.

Seolah-olah rakyat Perak buta sejarah, Tajol Rosli berkata, "Umno tidak pernah derhaka". Lupakah rakyat Perak kepada cerita Sultan Idris dengan jambang tidak bercukurnya.

Selepas pilihan raya 1959 dahulu, kerana mengenangkan jasa (Tan Sri) Mohd Ghazali Jawi (bapa Tajol Rosli) yang lantang mengkritik Datuk Panglima Bukit Gantang bagi pihak Umno, lalu dilantik beliau menjadi Menteri Besar Perak. Ketika itu Sultan Yusof Izzuddin Shah (ayahanda Sultan Azlan Shah) sedang memerintah. Tiba-tiba Mohd Ghazali ditangkap oleh Biro Pencegah Rasuah (BPR) kerana salah lakunya. Tunku Abdul Rahman menghantar beliau menjadi duta di Mesir pada 1962 untuk menutup kes ini.

Semasa Sultan Idris Shah sudah menaiki takhta, pada 1974 Tun Razak menamakan Mohd Ghazali sebagai Menteri Besar Perak sekali lagi. Sultan Idris tidak mahu menerima seorang perasuah menjadi ketua kerajaan. Umno menghantar (Tan Sri) Ishak Tadin untuk memujuk Sultan Idris dengan janji Mohd Ghazali Menteri Besar untuk dua tahun sahaja.

Pada 1976, Mohd Ghazali menderhaka kepada Sultan Idris apabila enggan meletakkan jawatan dengan alasan Perlembagaan Perak tidak menetapkan seorang menteri besar untuk dua tahun. Sultan Idris telah murka lalu memulau semua program kerajaan. Baginda bernazar tidak akan mencukur janggut dan misainya selagi si penderhaka menjadi menteri besar.

Kemuncak kemurkaan Sultan Idris terhadap si penderhaka ini ialah baginda tidak meluluskan bajet kerajaan Perak untuk tahun 1977. Kerajaan Perak tidak boleh bergerak tanpa sumber kewangan, sedangkan wang tidak boleh dibelanjakan tanpa kelulusan sultan.

Akhirnya Umno terpaksa menyuruh Mohd Ghazali meletakkan jawatan dan dilantik sebagai menteri pusat. Wan Mohamad Wan Teh (abang Datuk Wan Hashim) menggantikan Mohd Ghazali. Inilah penderhaka sebenar dalam sejarah Perak. Orangnya tidak lain dan tidak bukan, bapa Tajol Rosli sendiri. Maka, mengapa Tajol Rosli cuba membohongi rakyat Perak (Sultan Perak juga) bahawa Umno tidak pernah menderhaka.

perderhakaan di Terengganu, Pahang dan Johor

Kita jangan lupa kisah Datuk Nik Hassan dengan Sultan Terengganu, Datuk Rahim Bakar dengan Sultan Pahang, Tan Sri Othman Saat dengan Sultan Johor dan krisis Perlembagaan 1983.

Di Selangor juga ada cerita derhaka yang lebih dahsyat. Tan Sri Muhammad Mohd Taib jangan lupa isu ini. Beliau menuduh Nizar seorang penderhaka, tetapi beliau sendiri berkali-kali menderhaka. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz telah dihina oleh Umno Selangor pada 1991 ketika Mat Taib menjadi ketuanya. Dalam Perhimpunan Agung Umno 9 November 1991 (selepas pilihan raya yang Umno kehilangan Kelantan), wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Muhammad Mohd Taib, Dato' Zainal Abidin Sakom telah menyerang peribadi Tuanku.

Sultan Selangor dituduh merampas RM11 juta wang untuk sekolah agama bagi membaiki Istana Alam Shah. Sultan Selangor juga dituduh menyerahkan 400 ekar tanah untuk dibina padang golf kepada kapitan-kapitan Cina, selain 1500 ekar lagi diberikan oleh sultan kepada seorang tauke Cina yang lain.

Kerana ucapan wakil Umno Selangor ini, Perhimpunan Agung Umno mencerca semua Raja-raja Melayu ketika itu. Umno Selangor telah menyenaraikan kononnya salah laku Sultan Selangor untuk didedahkan kepada rakyat dalam Perhimpunan Agung Umno itu, dan akhirnya satu Resolusi 4 Perkara telah dikemukakan untuk Umno mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

Selepas itu pada 30 November 1991, Mat Taib mengetuai Umno Selangor mengadakan Perhimpunan Perpaduan Melayu di Dewan Jubli Perak, Shah Alam untuk menunjukkan sokongan rakyat dalam usaha Umno menderhakai Sultan Selangor. Mat Taib menafikan perhimpunan ini untuk menunjukkan pengaruh Umno kepada Sultan Selangor, tetapi semua penganalisis politik melihat begitu.

Mat Taib memang berdendam dengan Sultan Selangor selepas isu kahwin lari dengan Tengku Puteri Zahariah (Ku Yah) di selatan Thai, isu perlantikan Exco Selangor pada 1990 dan isu Zoo Negara. Perhimpunan ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyembahkan derhakanya kepada Sultan Selangor!

Berang dengan penderhakaan Umno ini, semasa hari keputeraan Sultan Selangor ke-66 pada 8 Mac 1992, baginda tidak mahu menganugerahkan pingat kepada pemimpin Umno Selangor. Mat Taib telah mengumumkan bahawa Umno Selangor pada 13 Februari 1992 memutuskan akan memulau pencalonan penerima pingat tersebut sebagai satu sembah derhaka mereka. Sultan Selangor murka dan berduka cita kerana kebiadapan Mat Taib yang membocorkan rahsia baginda.

Apabila pernderhakaan Mat Taib terhadap Sultan Selangor sudah ke kemuncak, akhirnya pada 24 Februari 1992, Majlis Tertinggi Umno telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah.

Pada 4 Julai 1992, satu Perisytiharan Prinsip-prinsip Perlembagaan telah dibuat oleh Majlis Raja-raja untuk menolak Kod Etika Perilaku Raja-raja yang dikemukakan oleh Umno. Sultan Perak tentu masih ingat peristiwa penderhakaan besar-besaran Umno sejak 1991 ini sehinggalah membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 dan �pertabalan� Tengku Ibrahim di Ketereh, Kelantan oleh Umno Kelantan pada 29 April 1993.

Nah! Jika kita melihat latar belakang dua tokoh yang bercakap soal derhaka di Bukit Gantang ini, maka tahulah rakyat siapa penderhaka sebenar. Mat Taib dan Tajol Rosli langsung tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap soal penderhakaan kepada sultan. Kerana mereka berdua adalah di kalangan penderhaka yang terkenal sejak sekian lama.

Mat Taib mungkin lega kerana Sultan Salahuddin Abdul Aziz sudah mangkat, tetapi masih ramai rakyat yang mengingatinya. Tajol Rosli juga tidak perlu berselindung dalam hal ini kerana semua orang tahu siapa Tan Sri Ghazali Jawi, si penderhaka itu.

Jika kes ini berlaku pada zaman Sultan Mahmud Melaka (nenek moyang kesultanan Perak), nescaya Mohd Ghazali dan semua keturunannya (termasuk Tajol Rosli) dihukum bunuh!

Rakyat Bukit Gantang perlu bijak dalam melayan isu derhaka yang dibesar-besarkan oleh Umno ini. Jangan terjerat oleh pukat yang dipasang oleh sang penderhaka Umno ini.- tajdid _

Saturday, March 7, 2009

Isu Herald...

Aduh, masih belum selesai isu Herald ini? Apa muslihat mereka? Mahu melakukan kristianisasi di Malaysiakah? Jika benar, kita tak akan benarkan...

Ikuti kenyataan akhbar PKPIM berkenaan isu Herald.

PPSMI hancur!

Alhamdulillah, selesai sudah perhimpunan yang mencabar ala-keranda 152.
  1. Antara reaksi segera Dato' Hisyamuddin, mempersoalkan tindakan aktivis ini yang mula bertindak setelah 6 tahun dilaksanakan. Dangkalnya pengetahuan Menteri Pelajaran ini, kerana tidak tahu yang kita sudah membantahnya sejak mula-mula dilaksanakan lagi! Malangnya, kenyataannya itu memperjelaskan lagi bahawa pihak kementerian telah MEMBAKUL SAMPAHKAN banyak memorandum yang telah dihantar sebelum ini.
  2. Reaksi PM pula, supaya isu ini ditangani segera, untuk mengelak daripada perkara yang lebih buruk berlaku. Aduhai PM, adakah kami rakyat jelata perlu bermandi gas pemedih mata dan 'water canon' dulu, barulah tuan mahu bersuara? Kasihanilah ibu-ibu tunggal, nenek-nenek berkerusi roda yang turun membantah PPSMI untuk anak-cucu mereka. Namun, terima kasih juga kita ucapkan kepada PM kerana akhirnya tuan bersuara juga...
  3. Tindakan polis yang tidak bertanggungjawab menyembur 'water canon' dan gas pemedih mata ke dalam masjid amat mengecewakan. Ada jemaah sedang bersembahyang, anak kecil yang berlindung, ibu tua yang berehat. Kenapa tindakan yang sama alasannya dengan askar Israel yang menyerang masjid di Palestin diambil? Sedangkan Masjid Negara adalah tempat yang sah untuk berhimpun.
  4. Isu bahasa, hanya mereka yang memahami sahaja yang berani bertindak. Jika tidak faham, bagaimana mahu percaya. Jika tidak percaya, bagaimana mahu bertindak. Akhirnya anak-anak kampung yang menderita, tidak bersemangat untuk belajar kerana tidak faham. Keciciran akan meningkat, walaupun kerajaan menurunkan graf kelulusan. Pengangguran akan bertambah. Akhirnya jenayah akan berleluasa.
  5. Bagi yang berjaya merentasi cabaran PPSMI, maka mereka ini akan memiliki jiwa Inggeris, hilang jatidiri. Memulakan perbualan pagi dengan Bahasa Inggeris, mengakhiri bicara malam dengan 'good night'. Ibu-bapa bertungkus lumus bercakap dalam bahasa Inggeris, untuk membolehkan anak mereka bercakap dalam Bahasa Inggeris. Menonton televisyen dalam Bahasa Inggeris. Mendengar radio Bahasa Inggeris. Membaca buku Bahasa Inggeris. Akhirnya Bahasa Melayu entah ke mana. Sesungguhnya pada bahasa itu ada nilainya, budaya yang dibawa bersamanya. Bahasa Melayu mambawa budaya Melayu. Bahasa Inggeris membawa budaya Barat. Globalisasi menjadi ancaman. Dunia tanpa sempadan membaratkan Malaysia. Adakah ini yang kita mahu?
  6. Jika perlu lagi, rakyat akan terus menyuarakan apa yang patut kepada kerajaan yang tidak tahu ini. Biar apa cara sekalipun, kerajaan yang tidak tahu perlu diberitahu. Mudah-mudahan Agama, Bangsa, dan Tanah air tidak tergadai. Mudah-mudahan kita diredhoi Allah...

Friday, March 6, 2009

Isu kampus kita...

  1. Pelbagai isu timbul kebelakangan ini. Pertama, perpustakaan di JHC akan ditutup. Kedua, ruang letak kereta terhad. Ketiga, brothers akan berpindah sekali lagi! Keempat, CF sisters ditakluk dan ditutup.
  2. Perkara ini sudah lama diperjuangkan. Pada tahun lepas, saya sendiri telah beberapa kali menyuarakan isu common-room, contohnya. Akhirnya, kita dapat satu common-room yang sederhana besarnya; tidak selesa, tetapi memadailah.
  3. Isu tetap ada. Kini, lebih besar lagi isunya. Apa yang mampu kita lakukan?
  4. Kalau dikira, setiap pelajar berhak menyuarakan rasa hati mereka. Mahasiswa bukan lagi kanak-kanak kecil yang perlu diarahkan untuk melakukan sesuatu, tetapi rakan dalam pembangunan. Perbincangan perlu dibuat supaya isu ini boleh dikendalikan dengan baik.
  5. Saya ingin mencadangkan agar satu petition dibuat untuk menyatakan pendapat kita terhadap isu-isu tersebut.
  6. Pertama, kewujudan perpustakaan JHC telah menyebabkan 'human resource' terhad. Ini menyebabkan perpustakaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelajar dan staf. Pembukaan perpustakaan terpaksa digilir-gilirkan supaya tidak berlaku pertindihan. Jika MSC bersetuju dengan pendapat ini, penerangan perlu dibuat kepada setiap ahli agar mereka faham, kenapa MSC tidak menentang gerakan ini.
  7. Kedua, isu ruang letak kereta. Isu ini memang tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, melainkan ada pihak yang berkompromi dalam hal ini. Antara caranya ialah:
  • menghadkan kewujudan kereta melalui persetujuan kuota untuk setiap batch dan setiap kuliyyah;
  • menyusun jadual agar digilirkan perletakan kereta di tempat letak dekat dengan mahallah;
  • membuat persetujuan berdasarkan siapa cepat dia dapat.
  1. Ketiga, isu perpindahan brothers. Dalam isu ini, kita hanya boleh membuat petisyen mengharapkan agar mereka mempertimbangkan pendapat kita. Ia perlu dibuat segera memandangkan masa sedang pantas berlalu.
  2. Keempat, CF sisters yang ditakluk. Saya cukup marah dengan menaklukan tersebut. Akibatnya, banyak meeting kita terpaksa dibuat di tempat yang tidak kondusif. Kalau di Perak, mereka bersidang di bawah pokok, begitu juga di UIAM Kuantan. Tidak ada sebab yang kukuh CF sisters ditutup. Kita perlu bantah tindakan ini.
  3. Kepada pemimpin-pemimpin, kami sentiasa meletakkan harapan kepada anda. Buatlah yang terbaik. Mahasiswa perlu mampu menunjukkan sesuatu yang hebat. Mahasiswa hebat.

Celaka si bedebah!

  1. isu PPSMI mula dibicarakan oleh ABIM dan PKPIM sejak dari tahun 2003 lagi.
  2. Pada masa itu, tidak ada sesiapa yang mahu menunjukkan kesungguhan mereka menentang dasar ini. Tetapi, alhamdulillah. Berkat istiqamah, akhirnya ramai yang mehu terlibat sama.
  3. Kalau mahu digariskan, banyak sebabnya kita menentang dasar PPSMI ini. Masing-masing berpendapat bahawa merekalah yang lebih patriotik, sama ada menyetujui PPSMI atau menentang PPSMI. Bagi yang bersetuju, alasannya adalah untuk membangunkan bangsa Melayu, tetapi bagi yang tidak bersetuju, kerana ingin mengelakkan bangsa Melayu dihanyutkan oleh arus globalisasi yang menggila.
  4. Isu yang dimainkan berbeza, yang bersetuju melihat dari aspek pembangunan, manakala yang tidak bersetuju melihat dari aspek survivor bangsa dan bahasa.
  5. Bermulanya sesebuah bangsa itu dari bahasanya. Setiap bangsa mempunyai nilai bahasanya sendiri. Hilangnya bahasa, maka hancurlah bangsa.
  6. Dari sudut pembangunan pula, jika sesebuah bangsa itu gagal menguasai Bahasa Inggeris dalam konteks sekarang, maka bangsa itu akan gagal untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.
  7. sebenarnya, kedua-dua hujah di atas adalah tepat. Tetapi, dalam knteks PPSMI, keutamaannya perlu diletakkan kepada penjagaan Bahasa Melayu demi menjaga ketamadunan dan kemandirian anak bangsa. Untuk mengatasi kemelut pembangunan, kerajaan perlulah memberikan latihan tambahan untuk penguasaan Bahasa Inggeris, tanpa mengganggu gugat kedudukan Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah.
  8. Banyak cara lain boleh dibuat. NGO-NGO juga perlu memainkan peranan membangunkan anak bangsa dengan memberikan pendedahan terhadap Bahasa Inggeris contohnya, untuk membantu mereka berhadapan dengan alam pekerjaan dan alam persaingan kelak.
  9. Ini dua isu yang berbeza. Janganlah disebabkan kita mahu maju, maka akar di bumi mula kita lupakan. Akhirnya kita jatuh tumbang menyembah bumi.
  10. Kesukaran anak bangsa di peringkat pengajian tinggi memang sudah dijangkakan. Tetapi, jika asas jatidiri sudah kukuh menapak di hati, kesusahan ini akan dapat diatasi dengan hemah dan bijaksana. Akhirnya terlahirlah pejuang bangsa yang sejati, berakar dengan jatidiri, menjulang membina kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
  11. Bukankah ini Melayu Glokal yang kita bicarakan?

Monday, February 16, 2009

Pilihanraya Kampus yang diidamkan...

Salam Perjuangan!
  1. Atas permintaan ramai, saya akan cuba merungkai persoalan pilihanraya kampus dari sudut pandang saya.

  2. Mungkin akan ada yang terluka, tetapi jadikanlah ia sebagai pedoman bagi yang merasakannya baik.

  3. PRK baru-baru ini menunjukkan sekali lagi pihak yang melabelkan diri mereka Pro-Mahasiswa kembali memegang tampuk SRC. Sebenarnya mereka bukanlah pro-mahasiswa, tetapi mereka adalah pro-pembangkang, terutama PAS. Mahasiswa jangan mudah tertipu dalam hal ini.

  4. Memenangi PRK dengan cara begini memanglah sesuatu yang tidak ikhlas. Menggunakan nama Pro-M seakan-akan mereka neutral, akhirnya mahasiswa mengundi mereka. Rupa-rupanya mereka adalah bayangan parti politik luar. Kebanyakan mahasiswa tidak sedar yang diri mereka tertipu.

  5. Di UIA, nama WUFI dipakai. Kononnya 'We Unite For Islam', tetapi semasa berkempen, bertegur sapa pun tidak, tambahan pula mengutuk dan menjatuh-jatuhkan calon yang lain, yang juga seorang Islam. Idealisme politik cara jahiliah yang dipegang, bukan cara Islam.

  6. Sebab itulah kita perlu lari daripada mengekori parti politik, PR mahupun BN. Kita perlu bina suasana politik baru di kampus-kampus. Pro-pembangkang dan Pro-aspirasi perlulah dibuang daripada landskap politik kampus.

  7. Mahasiswa perlu berpegang pada idealisme politik yang baru. Jangan memasukkan diri ke dalam kumpulan yang memperjuangkan idelisme politik luar, kerana idelisme itu selalunya tidak tulen. Kita ada ilmu yang tulen, ada akal yang waras, dan ada idea yang jelas. Maka perjuangkanlah menggunakan cara kita sendiri, bukan dengan mengaitkan diri dengan mereka.

  8. Mahasiswa perlu bangkit dan tolak sebarang usaha mengaitkan perjuangan mahasiswa dengan parti politik luar. Walaupun kebebasan kita termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi biarlah kebebasan itu tidak dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan. Binalah idealisme politik baru di kampus yang tulen dan bersih.

  9. Yang paling penting untuk mahasiswa ialah mengambil tahu tentang perkembangan semasa, politik, dan dalaman kampus. Kita juga perlu tahu, siapa yang dicalonkan dan siapa yang terpilih sebagai SRC. Kita juga perlu tahu apakah taktik yang digunapakai oleh mereka supaya memenangi SRC, dan akhirnya 'mengawal' kita semua. Jika kita tak ambil endah, akhirnya kita akan dipergunakan dan diperkudakan untuk kepentingan kuasa mereka.

  10. Bangkitlah Mahasiswa!

Monday, February 2, 2009

Perihal ADUN melompat parti...

Salam Perjuangan!

Sudah menjadi trend terbaru, nampaknya, apabila ADUN mula bermain dengan trend melompat parti. Jika ADUN tersebut bagus, tidak mengapalah. Maksud saya, jika ADUN itu berhijrah atas sebab perjuangan, sudah pasti tidak menjadi masalah. Kalau ADUN tersebut hanyalah pencacai yang tidak berpendirian, menyorok dan menikus, sudah pasti akan diludah oleh para penyokongnya. Ini bukanlah pemimpin yang kita carikan!

Cara politik pimpinan PR di Perak menarik perhatian saya, apabila menggunakan surat akujanji para ADUN Perak untuk menggugurkan mereka. Mungkin juga berlaku kezaliman jika disalahgunakan, tetapi bagi mereka yang berjiwa pejuang, bukan pangkat yang dicari-cari. Kita berpegang pada prinsip perjuangan, di mana jawatan dan pangkat hanyalah amanah yang dikurniakan. Jika ada d atas kita, jalankanlah. Jika diambil kembali, istighfarlah dan teruskanlah perjuangan seperti pejuang-pejuang yang lain.

Saya menulis seperti itu, sebagai tazkirah kepada dua bekas ADUN itu, kerana mereka perlu beristighfar dan kembali kepada asas agama. Jika benar mereka tidak berniat untuk mengkhianati perjuangan PR, maka bersihkan nama mereka. Bukan dengan merebut pangkat itu, tetapi dengan cara yang lain. Kemudian tunjukkanlah komitmen mereka sebagai pejuang dalam PR.

Tetapi jika benar bahawa mereka sedang mengkhianati PR, maka ini kata-kata saya, "Padan Muka!" Saya tidak mahu menyatakan siapa yang salah, siapa yang betul. Tetapi, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Ini adalah amaran kepada semua wakil rakyat, berpegang teguhlah pada prinsip perjuangan yang telus. Jangan bermain dengan politik untuk kepentingan tertentu. Tidak kira sama ada anda wakil rakyat PR atau BN, teguhkanlah perjuangan anda dengan keikhlasan dan keadilan. Persetankan kritikan orang lain jika anda benar-benar berjuang dengan kebenaran.

Tetapi, jika anda sedang melakukan khianat, laknat Allah ke atas kamu! Jangan kamu bermain dengan kuasa Tuhan. Jangan kamu bermain dengan rakyat! Walaupun kita tidak lagi dapat menurunkan kamu dengan undi, tetapi Tuhan pasti akan menurunkan kamu dengan cara yang lain. Jangan kamu terkejut. Ini untuk kamu, "Padan Muka!"

Tumpukanlah kepada usaha menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Jika ingin berhijrah atau melompat sekalipun, janganlah sampai mengganggu tugasan kamu. Jawatan ini bukan untuk dimain-main. Mana ada istilah "bercuti" bagi wakil rakyat! Kalau mahu bercuti, turunlah kamu dari takhtamu!

Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!

-iwanmohamad-

Saturday, January 31, 2009

Waspada Denggi Chikungunya

Benarlah kata-kata, pada setiap nikmat itu ada ujiannya. Kemajuan material negara membawa ujian yang besar juga kepada kita. Di samping keruntuhan moral dan akhlak, kita juga diuji oleh penyakit-penyakit yang sukar untuk dikawal. Antaranya, Denggi dan Chikungunya.

Usah dibicaralah tentang penyakit-penyakit top and hi-fi yang lain, seperti AIDS, sakit kulit akibat pencemaran alam, dan sebagainya. Jangkitan virus semudah denggi pun kita sukar untuk kawal. Apakan tidak, manusia yang terbangun kini tidak mampu menyeimbangkan antara hak dan tanggungjawab masing-masing.

Pembangunan material yang megiurkan rupa-rupanya mensisihkan pembangunan sikap yang baik. Manusia kian alpa bahawa mereka punya tanggungjawab untuk menjaga setiap amanah pembangunan tersebut. Sampah sarap bersepahan di sana-sini. Akhirnya menjadi tempat takungan air. Si Aedes tertawa kegembiraan, menjumpai tempat sesuai untuk bertelur.

Anak si manusia menjadi mangsa anak si Aedes betina. Mulalah si manusia yang alpa itu mencari salah siapa. Semua pihak ditunjukinya, kecuali diri sendiri.

Selepas notifikasi dibuat oleh doktor yang merawat dibuat, datanglah anggota kesihatan ke rumah untuk foging. Si manusia alpa berdegil, tidak mahu membiarkan pasukan kesihatan melakukan tugas mereka di dalam rumahnya. Masing-masing tutup pintu, berkunci.

Datang lagi kes kedua, ketiga, dan seterusnya dari kawasan yang sama. Kawasan di mana manusia alpa tinggal. Masalahnya, mereka terus alpa. Sampah sarap merata-rata. Tidak mahu bekerjasama. Akhirnya diri yang merana. Kemudian dicari salah siapa. Semua orang salah kecuali dirinya sahaja.

Berubahlah wahai manusia. Ubah sikapmu sebelum terkena. Sampah sarap janganlah ada. Tutup tempat yang bertakung, jangan biar terbuka. Sikap berjiran perlulah dijaga. Penguatkuasa datang, berilah kerjasama. Kerja simple saja, janganlah banyak cerita. Setiap minggu, 10 minit saja. Periksa setiap sudut rumah dan luar, jangan lupa. Ada pembiakan jentik-jentik, buanglah segera. Basuh bekas tersebut, dan berwaspada sentiasa.

Barulah hidup aman sejahtera. Sihat sejahtera, buanglah dosa. Sikap mementingkan diri sendiri jauhkanlah. Siapa kita di hadapan yang Maha Esa? Hanya sekelumit daripada berbillion hamba-hambaNya. Buang ego, buang selama-lamanya.

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!







-iwanmohamad-

Friday, January 30, 2009

PRK sudah berlalu...

Assalamualaikum, salam sejahtera...

Pilihanraya Kampus yang paling kotor...itulah kata-kata yang dikeluarkan oleh sdr. Saifullah Zulkifli selepas pengisytiharan pemenang PRK di Gombak. Benarkah kenyataan tersebut?

Sebenarnya, mungkin ini adalah di antara PRK yang kotor, tetapi mungkin bukan yang terkotor. Manakan tidak, kawan tiba-tiba menjadi lawan. Beliau mengeluarkan kata-kata itu sambil mengoyakkan risalah yang wujud semasa PRK baru-baru ini untuk memburuk-burukkan PKPIM di hadapan para penggerak WUFI.

Tidak tahulah siapa punya angkara risalah itu. Mungkin WUFI, dan mungkin juga pihak lain. Siapapun dia, ini adalah kerja yang keji tatkala kita berusaha untuk mematangkan dan menjernihkan suasana politik di kampus tercinta.

WUFI bermain dengan politik ala-pembangkang, dan Aspirasi bermain dengan politik ala-BN. Macam mana mahu bersih politik kampus kita? Kita generasi baru, diamanahkan untuk menjadi kelompok yang akan mencorak suasana politik negara. Bersihkan dahulu suasana politik kampus! Bukan BN atau PR yang kita mahukan di kampus, tapi mahasiswa!

Biarlah WUFI mahu tampil dan isytihar bahawa diri mereka menang. Walaupun sebenarnya, seingat-ingat saya, ramai calon-calon yang datang bertemu saya untuk meminta khidmat nasihat, kerana mereka tidak percaya dengan pimpinan WUFI yang bias, ramai di antara mereka mahu menjadi calon yang bebas, bukanlah calon WUFI. WUFI hanya batu loncatan bagi mereka.

Sebenarnya, pada diri mahasiswa itu ada karamah insaniyyahnya tersendiri. Kita tidak perlukan kelompok yang berjuang atas prinsip parti politik, seperti WUFI ataupun Aspirasi (walaupun WUFI kadang-kadang menafikannya). Gelanggang politik kampus bukanlah gelanggang politik nasional. Buat apa mahu didewakan sangat politik nasional yang penuh dengan kerosakan?

Kita bentukkanlah suatu model sistem politik yang kukuh, yang bebas daripada batasan parti politik dan permusuhan. Perpolitiklah dengan dasar kasih sayang. Biar apapun pegangan politik masing-masing, janganlah dibawa masuk perkara tersebut ke dalam kampus. Biarkan mahasiswa berfikir secara meluas dahulu sebelum membawa mereka ke aliran pemikiran kelompok-kelompok tertentu. Semoga masa depan politik kampus akan lebih murni dan telus...


-iwanmohamad-