Wednesday, June 3, 2009

Abg Mat punya cerita...


PAS bukan mahu
ganti Umno-BN,
tetapi jayakan pembaharuan
15-17 Ogos 2008

KUALA LUMPUR , Nabi Muhammad S.A.W tidak mengambil kuasa (menolak peluang) di Makkah walaupun ada tawaran pemerintah untuk berbuat demikian. Kuasa yang diambil yang tidak menyeluruh (absolute) menyebabkan Nabi tidak dapat membuat ‘reform’ (perubahan) yang menyeluruh. Semata-mata untuk menjadikan ketua negara, tanpa boleh berbuat apa-apa terhadap sistem dan amalan jahiliah , ia ditolak oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Nabi Muhammad S.A.W tidak menolak untuk mengambil kuasa dan mengetuai pentadbiran Madinah, kerana kuasa ‘absolute’ dapat digunakan untuk membuat ‘reform’ terhadap sistem negara dan kemasyarakatan. Di sinilah timbulnya istilah ‘keruntuhan jahiliah dan ditegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliah itu’.

Nabi Muhammad S.A.W telah menunjukkan cara-cara mengawal harta negara termasuk daripada Baitulmal, layanan terhadap pedagang dan pelancong, hubungan diplomatik, cara mengelak nepotisma harta kepada keluarga, hubungan rumah tangga dan kemasyarakatan dan perkara-perkara lain yang menyentuh kehidupan manusia dalam hubungan manusia, alam dan ketuhanan. Nabi Muhammad S.A.W telah membuat ‘reform’ yang menyeluruh yang menyentuh segala aspek kehidupan manusia.

Nabi Muhammad S.A.W yang bersifat suci lagi disucikan sudah tentu menjadi manusia yang sempurna menjalankan tugas sebagai manusia pilihan ALLAH untuk membimbing manusia. Nabi Muhammad S.A.W yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Sebagai umatnya kita tidak sempurna, tetapi menjadi teladan, ikutan kepada kita.

Sejarah telah menunjukkan peristiwa-peristiwa ‘reform’ yang dibuat sepanjang zaman oleh tokoh-tokoh individu atau kumpulan. ‘Reform’ dibuat oleh Imam Hussein apabila penyelewengan berlaku dengan nyata, ‘reform’ dibuat oleh masyarakat Eropah selepas Perang Dunia II yang melahirkan Eropah yang moden sekarang ini, ‘reform’ yang dibuat oleh Mahatma Gandhi, yang menjadi idola pejuang rakyat dan kemasyarakatan, ‘reform’ juga dibuat oleh Mao Tze Tung yang melahirkan kekuatan Cina pada hari ini.

Perjuangan PAS bukan untuk mengambil alih tempat umno sebaliknya untuk membuat perubahan di atas keruntuhan umno-BN itu. Kalau semata-mata untuk mengambil alih tempat pemerintahan umno-BN tanpa melakukan ‘reform’ maka perjuangan kita akan dilihat sia-sia sahaja.

Pemikiran Melayu feudal (feudalism) mesti diubah untuk melahirkan masyarakat yang progresif, berani, bertanggung jawab berdasarkan kepada paksi Islam. Kalau kita mengambil alih, masyarakat dan kita masih bergelumang dengan sistem dan paksi yang sama, maka ‘reform’ pada masyarakat tidak akan berlaku. Hanya yang bertukar jawatan Menteri Besar, Exco dan wakil rakyat, tetapi sistem korup (rasuah, nepotisma, fendalistik) berjalan seperti biasa. Hanya berlaku pertukaran jawatan dan slogan, tanpa berlaku perubahan sistem nilai dalam masyarakat.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba membuat ‘reform’ dalam masyarakat. Menjadi Menteri Besar bukan bertujuan mencari kekayaan peribadi atau keluarga. Beliau lebih mengutamakan perubahan dalam sistem masyarakat feudal Melayu yang meletakkan Ketua Negara atau negeri sebagai ‘maksum’, hiburan yang melanggar tata hidup manusia dinyahkan dan cuba membina masyarakat saling hormat di atas kebenaran dan ketelusan bukan di atas pangkat dan darjat. Pernah kami sebagai wakil rakyat di Kelantan dilarang oleh Tok Guru Nik Aziz menghadiri program hiburan melibatkan penyanyi wanita walaupun dianjur oleh pihak istana.

Tidak membawa kereta kerajaan (harta rakyat) dalam kempen-kempen pilihan raya kecil atau besar. Harta rakyat bukan harta peribadi, saranan dan seruan Tok Guru cuba diikuti oleh anak-anak buahnya. Apakah selepas peninggalan Tok Guru, ‘reform’ yang dibuat itu akan dijalankan terus? Keadaan yang membimbangkan mula ketara di dalam pemikiran saya. Lim Guan Eng berani mengisytiharkan secara rasmi untuk memerintah cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Bererti beliau akan cuba pisahkan harta awam (rakyat) dan harta peribadi secara maksimum. Mungkin tidak sampai seperti Umar tetapi sekurang-kurangnya beliau berazam untuk berbuat demikian.

Pada 16 Julai, Ketua Menteri Pulau Pinang melancarkan program e-perolehan iaitu tender terbuka melalui Internet, dimana tidak lagi perlu ‘kabel’ untuk mendapatkan projek kerajaan negeri. Sistem ini di Finland, Australia dan New Zealand untuk menghapuskan rasuah ke arah sifar. Moga-moga wang awam tidak lagi bocor (tiris) begitu banyak dalam perjalanan pembangunan.

Kalau semata-mata ambil alih kerajaan daripada umno-BN kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk menukar jawatan MB (KM), Exco, Adun, Ahli Majlis, Penghulu tetapi sistem feudal berjalan seperti biasa, amatlah malang bagi pejuang Islam yang sanggup menggugurkan darah mereka untuk meruntuhkan jahiliah dan menegakkan Islam (kebenaran) di atas keruntuhan itu.

Insya ALLAH pejuang kita (pejuang rakyat) tidak menjadikan Tun, Tan Sri, Dato’ dan gelaran dunia sebagai idaman dan bahan perbualan di kalangan kita dan pimpinan bukan bualan dan azam untuk menukar sistem jahiliah feudal kepada sistem Islam yang membawa keredaan Ilahi.

Oleh : Hj Mohamad Sabu

-Tulisan di Harakah: Edisi 1366 (15-17 Ogos 2008)-

No comments: