Monday, February 16, 2009

Pilihanraya Kampus yang diidamkan...

Salam Perjuangan!
  1. Atas permintaan ramai, saya akan cuba merungkai persoalan pilihanraya kampus dari sudut pandang saya.

  2. Mungkin akan ada yang terluka, tetapi jadikanlah ia sebagai pedoman bagi yang merasakannya baik.

  3. PRK baru-baru ini menunjukkan sekali lagi pihak yang melabelkan diri mereka Pro-Mahasiswa kembali memegang tampuk SRC. Sebenarnya mereka bukanlah pro-mahasiswa, tetapi mereka adalah pro-pembangkang, terutama PAS. Mahasiswa jangan mudah tertipu dalam hal ini.

  4. Memenangi PRK dengan cara begini memanglah sesuatu yang tidak ikhlas. Menggunakan nama Pro-M seakan-akan mereka neutral, akhirnya mahasiswa mengundi mereka. Rupa-rupanya mereka adalah bayangan parti politik luar. Kebanyakan mahasiswa tidak sedar yang diri mereka tertipu.

  5. Di UIA, nama WUFI dipakai. Kononnya 'We Unite For Islam', tetapi semasa berkempen, bertegur sapa pun tidak, tambahan pula mengutuk dan menjatuh-jatuhkan calon yang lain, yang juga seorang Islam. Idealisme politik cara jahiliah yang dipegang, bukan cara Islam.

  6. Sebab itulah kita perlu lari daripada mengekori parti politik, PR mahupun BN. Kita perlu bina suasana politik baru di kampus-kampus. Pro-pembangkang dan Pro-aspirasi perlulah dibuang daripada landskap politik kampus.

  7. Mahasiswa perlu berpegang pada idealisme politik yang baru. Jangan memasukkan diri ke dalam kumpulan yang memperjuangkan idelisme politik luar, kerana idelisme itu selalunya tidak tulen. Kita ada ilmu yang tulen, ada akal yang waras, dan ada idea yang jelas. Maka perjuangkanlah menggunakan cara kita sendiri, bukan dengan mengaitkan diri dengan mereka.

  8. Mahasiswa perlu bangkit dan tolak sebarang usaha mengaitkan perjuangan mahasiswa dengan parti politik luar. Walaupun kebebasan kita termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi biarlah kebebasan itu tidak dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan. Binalah idealisme politik baru di kampus yang tulen dan bersih.

  9. Yang paling penting untuk mahasiswa ialah mengambil tahu tentang perkembangan semasa, politik, dan dalaman kampus. Kita juga perlu tahu, siapa yang dicalonkan dan siapa yang terpilih sebagai SRC. Kita juga perlu tahu apakah taktik yang digunapakai oleh mereka supaya memenangi SRC, dan akhirnya 'mengawal' kita semua. Jika kita tak ambil endah, akhirnya kita akan dipergunakan dan diperkudakan untuk kepentingan kuasa mereka.

  10. Bangkitlah Mahasiswa!

Monday, February 2, 2009

Perihal ADUN melompat parti...

Salam Perjuangan!

Sudah menjadi trend terbaru, nampaknya, apabila ADUN mula bermain dengan trend melompat parti. Jika ADUN tersebut bagus, tidak mengapalah. Maksud saya, jika ADUN itu berhijrah atas sebab perjuangan, sudah pasti tidak menjadi masalah. Kalau ADUN tersebut hanyalah pencacai yang tidak berpendirian, menyorok dan menikus, sudah pasti akan diludah oleh para penyokongnya. Ini bukanlah pemimpin yang kita carikan!

Cara politik pimpinan PR di Perak menarik perhatian saya, apabila menggunakan surat akujanji para ADUN Perak untuk menggugurkan mereka. Mungkin juga berlaku kezaliman jika disalahgunakan, tetapi bagi mereka yang berjiwa pejuang, bukan pangkat yang dicari-cari. Kita berpegang pada prinsip perjuangan, di mana jawatan dan pangkat hanyalah amanah yang dikurniakan. Jika ada d atas kita, jalankanlah. Jika diambil kembali, istighfarlah dan teruskanlah perjuangan seperti pejuang-pejuang yang lain.

Saya menulis seperti itu, sebagai tazkirah kepada dua bekas ADUN itu, kerana mereka perlu beristighfar dan kembali kepada asas agama. Jika benar mereka tidak berniat untuk mengkhianati perjuangan PR, maka bersihkan nama mereka. Bukan dengan merebut pangkat itu, tetapi dengan cara yang lain. Kemudian tunjukkanlah komitmen mereka sebagai pejuang dalam PR.

Tetapi jika benar bahawa mereka sedang mengkhianati PR, maka ini kata-kata saya, "Padan Muka!" Saya tidak mahu menyatakan siapa yang salah, siapa yang betul. Tetapi, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Ini adalah amaran kepada semua wakil rakyat, berpegang teguhlah pada prinsip perjuangan yang telus. Jangan bermain dengan politik untuk kepentingan tertentu. Tidak kira sama ada anda wakil rakyat PR atau BN, teguhkanlah perjuangan anda dengan keikhlasan dan keadilan. Persetankan kritikan orang lain jika anda benar-benar berjuang dengan kebenaran.

Tetapi, jika anda sedang melakukan khianat, laknat Allah ke atas kamu! Jangan kamu bermain dengan kuasa Tuhan. Jangan kamu bermain dengan rakyat! Walaupun kita tidak lagi dapat menurunkan kamu dengan undi, tetapi Tuhan pasti akan menurunkan kamu dengan cara yang lain. Jangan kamu terkejut. Ini untuk kamu, "Padan Muka!"

Tumpukanlah kepada usaha menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Jika ingin berhijrah atau melompat sekalipun, janganlah sampai mengganggu tugasan kamu. Jawatan ini bukan untuk dimain-main. Mana ada istilah "bercuti" bagi wakil rakyat! Kalau mahu bercuti, turunlah kamu dari takhtamu!

Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!

-iwanmohamad-