Friday, April 10, 2009

AUKU Melesukan Mahasiswa -Dato' Saifuddin Abdullah


AUKU MELESUKAN GERAKAN MAHASISWA

Akhirnya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai 2008), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin telah membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan dalam sidang Ogos ini.



Ini bermakna bahawa perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil.



Saya turut terlibat dalam perjuangan meminda akta ini sejak menjadi aktivis mahasiswa di Universiti Malaya pada 1981. Saya juga pernah menjadi mangsanya pada 1984. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan BN hari ini, ia bersetuju memindanya.



Kali terakhir saya mencadangkan pindaan akta ini ialah dalam kolum saya (“Perspektif”) di akhbar ini iaitu ketika mengulas perjalanan pilihan raya kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi 2007/2008 pada Oktober tahun lalu. Saya telah menyoal kewujudan pengundi hantu dan tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan di dua buah IPTA.



Isu-isu itu menambah rungutan terhadap pilihan raya kampus seperti pengaruh parti dan ahli politik tertentu, Hal Ehwal Pelajar (HEP) berat sebelah serta peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa. Pokoknya, AUKU tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih baik.



AUKU tidak meningkatkan partisipasi politik kampus. Dalam pilihan raya kampus itu, peratusan membuang undi merosot di tujuh buah IPTA manakala langkah IPTA tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang.



AUKU juga tidak menjana kepemimpinan. Dalam pilihan raya kampus itu, lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding.



Sebelum cadangan pindaan ini, terdapat tiga pendirian tentang AUKU. Pendirian pertama, ialah AUKU baik bagi mahasiswa. Pendirian kedua, ialah AUKU perlu dihapuskan dan diganti dengan akta baru. Dan pendirian ketiga, ialah peruntukan-peruntukan tertentu AUKU perlu dipinda. Saya berpegang kepada pendirian ketiga ini.



Mereka yang berpegang pada pendirian pertama menganggap AUKU tidak menyekat gerakan mahasiswa. Mereka menggunakan data tentang banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa sebagai bukti. Kelemahan hujah ini ialah bahawa banyaknya jumlah program tidak semestinya menggambarkan gerakan mahasiswa yang sebenar.



Ini kerana program terdiri dari tiga jenis, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”. “Advokasi” adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU. Justeru, banyaknya program jenis “aktiviti” dan “bakti, tetapi tiada atau sedikitnya jenis “advokasi” tidak melambangkan gerakan mahasiswa yang sihat dan segar.

Mereka juga mengatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik. Alasannya kerana tugas mahasiswa adalah belajar. Kalau hendak berpolitik, tunggulah selepas tamat belajar. Hujah ini berlandaskan faham politik yang sempit dan tidak memahami bahawa politik itu luas, iaitu termasuk pendidikan politik, isu politik, politik non-partisan dan sebagainya.



Alasan lain ialah mahasiswa menggunakan duit rakyat, iaitu biasiswa, untuk belajar. Kalau begitu, mengapakah yang tiada biasiswa juga dilarang berpolitik? Hujah ini juga double standard kerana ada mahasiswa kita di luar negara yang mendapat biasiswa yang lebih besar, iaitu menggunakan lebih banyak duit rakyat, tetapi dibenarkan pula berpolitik.



Ada pula yang menyatakan AUKU perlu untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah mereka menentang kerajaan? Di samping itu, bukankah pendirian politik seseorang mahasiswa tidak semestinya kekal dan mungkin berubah selepas meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?



Di samping itu, perlu dibezakan antara memegang jawatan parti politik, yang ada kewajarannya untuk dilarang, dengan menjadi anggota parti politik, yang larangannya bertentangan dengan semangat Perlembagaan negara dan pilihan raya umum. Perlembagaan menjamin hak berorganisasi, termasuk menganggotai parti. Dalam pilihan raya umum, mahasiswa digalakkan mengundi. Mengundi parti politik boleh, tetapi menjadi anggota parti politik tak boleh. Bukankah ini peraturan yang pelik?



Hakikatnya ialah AUKU melesukan gerakan mahasiswa. Pada pertengahan tahun 70-an, ramai aktivis mahasiswa ditahan yang menyebabkan sebahagian gerakan mahasiswa lumpuh seketika. Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM) terkubur. PKPIM dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tinggal anggota bukan mahasiswa. Majlis Belia Malaysia (MBM) terputus jembatannya dengan kampus.



Banyak tulisan, misalnya oleh Baharudin Ali Masrom dan Zainah Anwar, telah membincangkan kesan-kesan buruk AUKU, seperti meluasnya “budaya takut” dan sikap “tidak apa” di kampus. Manakala Idris Ahmad dan Ahmad Fadzil Yusof menyorot ketidakadilan layanan terhadap kehadiran parti-parti politik di kampus dan tindakan keterlaluan terhadap beberapa orang mahasiswa yang kononnya didapati bersalah.



Kerana itulah wujudnya pendirian yang kedua dan ketiga itu. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi pendekatannya, tetapi, kedua-duanya mempunyai premis yang hampir sama dari segi penentangan terhadap AUKU.



Dalam hal ini, antara peruntukan AUKU yang perlu dipinda ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1).



Ini kerana ia mengongkong mahasiswa, misalnya, mahasiswa disekat berhimpun, mengguna pembesar suara, bendera, sepanduk, pelekat dan poster; menjalankan aktiviti di luar kampus, berniaga atau bekerja; menjadi ahli atau menyokong mana-mana persatuan, parti politik dan kesatuan sekerja; serta memungut wang dan membuat kenyataan media.



Adakah dengan pindaan ini maka dengan tiba-tiba sahaja kampus akan kembali ke zaman kegemilangan gerakan mahasiswa, iaitu seperti yang berlaku sebelum zaman AUKU?



Tiada siapa yang tahu jawapannya. Ini kerana setelah sekian lama kelesuan, maka, untuk menyegarkannya semula, walaupun tidak semestinya sampai menjadi “mahasiswa menggugat”, iaitu slogan yang menjadi judul buku Muhamad Abu Bakar (1973), bukanlah mudah.



Tetapi, sekurang-kurangnya, langkah meminda akta ini dan memberikan mahasiswa lebih kebebasan adalah jauh lebih baik daripada mempertahankan peruntukan-peruntukan yang drakonian. Ia mungkin dapat mengubat luka beberapa generasi bekas aktivis mahasiswa yang semakin ramai tidak menyokong BN mutakhir ini, di mana AUKU adalah satu daripada faktornya.



Namun, AUKU bukan sekadar melibatkan mahasiswa sahaja. Ia turut melibatkan pensyarah. AUKU juga bukan sekadar hal ehwal politik kampus sahaja. Sebaliknya, ia adalah antara dasar utama tentang menjadikan universiti sebagai gedung ilmu dalam erti kata yang sebenar.



Satu daripada cabang ilmu yang perlu dimajukan seluas-luasnya di kampus ialah demokrasi. Demokrasi tidak hanya melibatkan bidang politik. Sebaliknya, demokrasi melibatkan hampir seluruh spektrum kehidupan. Sebagai institusi pendidikan formal paling tinggi, maka, universiti perlu membenarkan demokrasi diamalkan pada kadar yang paling tinggi juga.



Universiti mesti mengelak, seperti kata Noam Chomsky dalam bukunya Chomsky on MisEducation (2000), daripada tersilap-didik (miseducate) mahasiswa sehingga demokrasi diberi makna songsang, iaitu keputusan dibuat oleh pihak atasan dan mahasiswa hanya mengangguk sahaja, kerana universiti memaksa ketaatan, menghalang pemikiran bebas dan terlalu mengawal. END

No comments: