Monday, February 2, 2009

Perihal ADUN melompat parti...

Salam Perjuangan!

Sudah menjadi trend terbaru, nampaknya, apabila ADUN mula bermain dengan trend melompat parti. Jika ADUN tersebut bagus, tidak mengapalah. Maksud saya, jika ADUN itu berhijrah atas sebab perjuangan, sudah pasti tidak menjadi masalah. Kalau ADUN tersebut hanyalah pencacai yang tidak berpendirian, menyorok dan menikus, sudah pasti akan diludah oleh para penyokongnya. Ini bukanlah pemimpin yang kita carikan!

Cara politik pimpinan PR di Perak menarik perhatian saya, apabila menggunakan surat akujanji para ADUN Perak untuk menggugurkan mereka. Mungkin juga berlaku kezaliman jika disalahgunakan, tetapi bagi mereka yang berjiwa pejuang, bukan pangkat yang dicari-cari. Kita berpegang pada prinsip perjuangan, di mana jawatan dan pangkat hanyalah amanah yang dikurniakan. Jika ada d atas kita, jalankanlah. Jika diambil kembali, istighfarlah dan teruskanlah perjuangan seperti pejuang-pejuang yang lain.

Saya menulis seperti itu, sebagai tazkirah kepada dua bekas ADUN itu, kerana mereka perlu beristighfar dan kembali kepada asas agama. Jika benar mereka tidak berniat untuk mengkhianati perjuangan PR, maka bersihkan nama mereka. Bukan dengan merebut pangkat itu, tetapi dengan cara yang lain. Kemudian tunjukkanlah komitmen mereka sebagai pejuang dalam PR.

Tetapi jika benar bahawa mereka sedang mengkhianati PR, maka ini kata-kata saya, "Padan Muka!" Saya tidak mahu menyatakan siapa yang salah, siapa yang betul. Tetapi, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya. Ini adalah amaran kepada semua wakil rakyat, berpegang teguhlah pada prinsip perjuangan yang telus. Jangan bermain dengan politik untuk kepentingan tertentu. Tidak kira sama ada anda wakil rakyat PR atau BN, teguhkanlah perjuangan anda dengan keikhlasan dan keadilan. Persetankan kritikan orang lain jika anda benar-benar berjuang dengan kebenaran.

Tetapi, jika anda sedang melakukan khianat, laknat Allah ke atas kamu! Jangan kamu bermain dengan kuasa Tuhan. Jangan kamu bermain dengan rakyat! Walaupun kita tidak lagi dapat menurunkan kamu dengan undi, tetapi Tuhan pasti akan menurunkan kamu dengan cara yang lain. Jangan kamu terkejut. Ini untuk kamu, "Padan Muka!"

Tumpukanlah kepada usaha menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Jika ingin berhijrah atau melompat sekalipun, janganlah sampai mengganggu tugasan kamu. Jawatan ini bukan untuk dimain-main. Mana ada istilah "bercuti" bagi wakil rakyat! Kalau mahu bercuti, turunlah kamu dari takhtamu!

Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!

-iwanmohamad-

No comments: