Thursday, March 24, 2011

Perubatan Nabawi: Kemestian bagi Doktor Muslim

Perubatan Nabawi: Kemestian bagi Doktor Muslim

Pengenalan
Dalam menyelusuri sejarah perkembangan ilmu perubatan, terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang membawa kepada perkembangan dalam ilmu perubatan. Tidak dapat dinafikan, perkembangan yang pesat ini telah menyebabkan pelbagai polisi kerajaan berubah untuk menangani revolusi tersebut, sehinggakan pelajaran Sains dan Matematik terpaksa dipelajari dalam Bahasa Inggeris. Ini bagi mengatasi masalah kekangan penguasaan bahasa dalam proses menyelidiki dan memahami ilmu moden dan terkini, termasuk ilmu dalam bidang perubatan. Namun, dalam keghairahan mengejari kepesatan perkembangan ilmu perubatan, perlu juga kita meneliti kembali sejarah, atau disebut di sini sebagai proses revolusi itu, yang membawa kepada kondisi kita pada masa kini.

Prof Syed Muhammad Naquib, seorang sarjana Islam, ada menerangkan bahawa bidang ilmu dunia akan terus berkembang dari pembentukan suatu thesis, kepada anti-thesis, dan seterusnya membentuk satu synthesis yang baru . Namun, walaupun setiap ilmu akan berkembang pesat, ada juga yang tetap kekal dan tidak berubah, iaitu ilmu Islam, atau lebih tepat Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa kajian Hadith dan Al-Quran perlu dijadikan asas kepada setiap cabang ilmu yang ingin dipelajari oleh seseorang muslim sebelum menerokai dan melayari lautan ilmu yang lebih besar. Ini juga merupakan asas Pandangan Hidup Islam. Dalam penulisan ini, konteks hadith sebagai sumber rujukan dalam bidang perubatan akan diterangkan secara ringkas. Sudah pasti petikan ini bukanlah yang terbaik untuk dijadikan rujukan, namun bolehlah diambil sedikit manfaat daripadanya.

Keutamaan Hadith bagi Muslim
Manakala bagi seorang doktor Muslim pula, sudah sepatutnya menjadi suatu kerinduan kepada mereka untuk mempelajari dan mendalami hadith dan ayat Quran yang ada kaitan dengan bidang mereka. Terdapat banyak hadith yang menceritakan tentang cara perubatan Nabi S.A.W dan bagaimana Baginda mengubati (menuruskan: manage) sesuatu penyakit. Sangat menarik apabila kita dapati, banyak hadith yang menunjukkan Nabi mengubati sesuatu dengan pelbagai cara yang tidak pernah dipelajari oleh kita kini.

Namun begitu, perlu diingat oleh kita semua, bahawa Baginda bukanlah diturunkan sebagai seorang doktor atau tabib, tetapi sebagai seorang Rasul, pembawa agama Allah. Sudah semestinya, bukanlah keutamaan Baginda untuk mengajar kita tentang perubatan. Inilah yang perlu difahami supaya kita kekal di atas jalan moderat. Sebab itu, adalah salah bagi seseorang untuk menyandarkan sepenuhnya pada perubatan yang ada di dalam ahadith Rasul, tanpa ada kajian-kajian lanjut dan mengetepikan terus perubatan selain apa yang tersebut dalam ahadith tersebut.

Meskipun begitu, adalah perlu bagi kita untuk mempelajari tentang bagaimana cara Baginda menerima atau merawati penyakit. Dari satu aspek, belajar dan beramal dengan perubatan Nabawi akan memberikan kekuatan keimanan kepada pengamalnya. Selain itu, ia akan menambahkan pahala kerana si pengamal kerana beramal dengan sunnah Rasul. Ia juga adalah suatu pedoman yang diajarkan oleh Allah melalui RasulNya kepada hambaNya tentang cara yang terbaik untuk merawati sesuatu penyakit.

Ilmu perubatan dalam Hadith: Retorik atau Pragmatik?
Timbul beberapa persepsi atau persoalan tentang kewajaran beramal dengan Perubatan Nabawi, sedangkan ada sesetengahnya tidak dapat dibuktikan melalui kaedah pembuktian moden. Tetapi, wajarkah kita menolak hadith-hadith tersebut hanya kerana ianya tidak dapat dibuktikan dengan kaedah yang dibentuk oleh perubatan moden?

Persoalan ini timbul kerana kita sudah terbiasa dengan satu kaedah untuk menentukan tahap validity sesebuah maklumat. Kaedah tersebut ialah kaedah Evidence-based Medicine (EBM). Namun begitu, EBM sendiri mempunyai kecacatan yang nyata. Antaranya, EBM akan menyebabkan bidang perubatan dikuasai oleh mereka yang kaya, terkenal, dan mempunyai jaringan yang luas. Ia mementingkan ‘kaedah penulisan’ dan ‘teknikaliti’ yang akhirnya menutup kebijaksanaan sesuatu ilmu. EBM juga, dari segi falsafahnya, membawa agenda modernisme dan sekularisme, kerana mengasingkan antara agama dengan kehidupan. Sedangkan bagi Islam, agama dan kehidupan adalah satu unsur yang bersepadu. Maka nilai Hadith bagi kita ada tempatnya dalam perubatan. Ada juga perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan kaedah yang digariskan oleh EBM, contohnya keimanan dan ketakwaan. Maka, perkara ini akan mewujudkan pertembungan antara peyokong EBM dan penentangnya.

Dalam satu hadith, Rasul S.A.W menyuruh sahabatnya meminum madu apabila beliau mengadu sakit perut. Beberapa kali dicuba, masih juga tidak berjaya. Rasul terus menyuruh sahabat tersebut minum madu, sehingga semubuh. Beliau bersabda, “…benarlah kata-kata Allah, dan perut lah yang berdusta”. Ini menunjukkan bahawa, walaupun dari segi logic akal, perkara tersebut ‘seperti’ tidak berguna, tetapi sebenarnya, apa yang diajar oleh Nabi adalah wahyu dari Allah, dan Allah adalah pemilik dan pencipta semua manusia. Tidakkah Yang Mencipta itu lebih tahu tentang ciptaannya?
Dalam pada itu, Rasul S.A.W tidak pernah melarang daripada berubat dengan tabib-tabib pada zaman Baginda, kecuali pada yang terlarang. Beberapa ketika seperti yang dilaporkan di dalam hadith, Baginda sendiri menyuruh sahabat mencari tabib yang pandai mengubati penyakit-penyakit tertentu, contohnya bisul. Maka, tidaklah menjadi kesalahan untuk berubat dengan kaedah yang lain. Bahkan, itu adalah yang terlebih baik, jika ternyata kaedah tersebut adalah yang terbaik untuk penduduk di kawasan tersebut pada masa tersebut.

Persoalan yang dinyatakan di atas adalah yang menjadi persoalan yang perlu ditangani dengan baik oleh para doktor Muslim. Ini kerana, hadith tidak sewajarnya diletakkan pertimbangannya sama tahap dengan sumber-sumber rujukan yang lain. Jika tidak ditanggapi dengan baik, maka akan muncullah ilmuan dan doktor yang terpengaruh dengan agenda sekularisasi yang dibawa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, perlu bagi kita menggabung-jalinkan antara perubatan moden dengan perubatan nabawi. Persoalannya, bagaimanakah caranya? Persoalan ini sehingga kini masih belum dapat dijawab sepenuhnya, kerana usaha-usaha ilmuan yang cuba mengetengahkan isu ini akhirnya tidak sampai ke mana-mana. Konsep yang sama akan terus digunakan dan tidak ada pembaharuan yang tercapai. Konsep dikotomi tetap tertonjol sebagai The main-stream dalam pengamalan dan diri umat.

Pemahaman Membentuk Amalan
Kenapa perlunya perkara di atas diterangkan secara teoretikal dan teknikal? Inilah yang akan membentuk pemahaman atau worldview yang akan menyebabkanmanusia bergerak dan beraktiviti di dalam lingkungan pemahaman tersebut. Jika tidak, manusia akan bergeak mengikut arus perdana yang akan merosakkan, sama saja robot yang diprogramkan. Akhirnya terjadilah kekacauan di sana-sini terutama dari segi nilai dan etika kerja.

Kerangka pemahaman yang perlu difahami, secara ringkasnya, ialah bahawa setiap umat Islam perlu mengutamakan dua sumber dalam apa juga aspek kehidupan termasuk perubatan, iaitu Quran dan Sunnah. Jika ada pertembungan antara dua sumber ini dengan penemuan moden, maa perlulah dimuliakan dua sumber ini dan dikaji dengan lebih lanjut tentang penemuan moden itu. Umat Islam pula tidak boleh menolak terus penemuan moden selagi ia bertepatan dengan konsep perubatan yang digariskan oleh Islam. Bagi pengamal perubatan pula, perlu ada usaha dari mereka untuk menghubung jalin antara perubatan berpandukan hadith dan Quran dengan perubatan konvensional, mahupun dari segi teori, rohani, seterusnya amali. Sekurang-kurangnya, begi setiap prosedur yang mahu dlakukan, perlulah dibaca basmalah dan disudahi dengan Alhamdulillah. Ini menunjukkan usaha pengabung-jalinan antara konsep perubatan Islam dan moden, dan manifestasi keimanan bahawa hanya Tuhan yang menentukan beik-buruk sesuatu, dan Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk para hambaNya.

Kesimpulan
Pemikiran, pemahaman, pandangan alam, seterusnya tindakan dan budaya sesuatu kaum banyak dipengaruhi oleh kebudayaan yang dominan dalam sesuatu masa tersebut. Pada masa kini, sudah pasti budaya yang mendominasi ialah kebudayaan Barat. Maka, tidak hairan ada ilmuan yang menganggap fenomena ini sebagai suatu usaha ‘Pembaratan’, walaupun ramai juga tidak bersetuju dengan istilah sebegini. Apa juga pertembungan yang berlaku, sebagai seorang pengamal perubatan, sudah menjadi kebiasaan untuk menjadi seorang yang praktikal, dan bukan filosofikal. Maka, adalah wajar bagi kita untuk memilih sendiri cara kita untuk menghubung-jalinkan ilmu perubatan Nabawi dan Qurani dengan perubatan Moden yang diamalkan oleh kita pada masa kini. Seperti yang dinyatakan di atas, sekurang-kurangnya kita mulakan setiap tindakan dengan basmalah dan doa penyerahan diri kepada Allah, dan diakhiri dengan hamdallah dengan doa kebaikan kepada pesakit. Mudah-mudahan usaha kecil kita ini akan menghasilkan impak yang besar serta menjana ‘undercurrent’ yang hebat, yang akan menambahkan kebaikan kepada diri sendiri dan pesakit. Mudah-mudahan pemahaman terhadap Perubatan Islami akan dapat diperkemaskan lagi pada masa akan datang.

No comments: