Friday, August 14, 2009

Falsafah Ilmu Perubatan

Falsafah Ilmu Perubatan

Oleh: Ahmad Safwan Mohamad

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari dari berbicara tentang sejarah. Sejarah adalah suatu 'jalan' atau 'track' yang sedia terbina, yang kemudiannya, manusia akan melalui atasnya. Setiap kali di persimpanga, manusia akan memilih, sama ada ke kiri atau ke kanan. Tanpa disedarinya, sebenarnya jalan itu sedang menuju ke suatu arah yang telahpun ditentukan penghujungnya. Jika tidak diteliti dengan baik, maka manusia akan terus berjalan sampailah ke penghujungnya, seperti si buta yang tiada tahu apakah di hadapannya.

Bagi manusia, itu adalah lumrah alam. Bagi mereka yang egois, mereka lebih rela melakukan 'try an error' dan jika bertemu jawapannya nanti, baharulah mereka akan berkata, "ooh…begitu caranya." Sebenarnya, ada cara lain yang lebih bijaksana. Pepatah ada mengatakan "A wise man learns from his experience. A wiser man learns from others."

Itulah gunanya sejarah. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda, "Binasalah orang yang jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali." Sebab itu jugalah Al-Quran penuh dengan cerita-cerita sejarah yang menjadi "ibrah". Jika manusia bijak membaca sejarah, bijak memanipulasi sejarah, dan bijak mencipta sejarah, pasti mereka akan berjaya.

Itulah falsafah sejarah. Dari segi definisi, falsafah bermaksud 'penggemar ilmu' atau 'penggemar hikmah', daripada perkataan 'pilos' dan 'sofos'. Ini adalah apa yang dikatakan oleh Buya Hamka. Seperti istilahnya, orang berfalsafah bermaksud orang yang bercirikan gemar kepada hikmah. Justeru, tidak salah jika dikatakan, falsafah perubatan bermaksud suatu pendirian atau kecenderungan untuk menyelidiki hikmah dalam bidang perubatan.

Diri ini adalah kerdil dalam dunia yang besar ini. Mungkin dari segi umurnya, lebih ramai yang lebih dewasa dan tidak mahu menerima pandangan kecil diri ini. Jika usia sebagai petandanya, maka bagaimana Rasulullah S.A.W boleh berdakwah kepada ummatnya yang lebih tua daripadanya? Abu Jahal sendiri lebiih tua daripada Rasul. Jika ini analoginya, bukankah usia tidak melambangkan apa-apa?

Maka, bertitik-tolak daripada kesedaran ini, digagahi juga penulisan karya kecil ini. Mudah-mudahan akan ada tenaga-tenaga besar lain yang akan menambah-baik kekurangan-kekurangan yang ada di dalam lontaran idea diri kerdil ini.

Adapun falsafah Islami bermula daripada kesedaran bahawa ilmu itu datangnya dari Tuhan. Bahawa sesungguhnya, jika tiada sifat ketuhanan dalam sesuatu perkara, nescaya bukanlah perkara itu dikategorikan sebagai ilmu. Pelbagai definisi cuba diberikah untuk menjustifikasi perkara ini. Tetapi kebenaran tetap timbul. Ilmu yang tidak membawa kepada ketuhanan itu akhirnya hanyalah menjadi susunan-susunan maklumat, bukanlah ilmu yang sebenarnya.

Apabila ditanggapi dari aspek perubatan, sudah pastilah maklumat perubatan itu akhirnya tidak ke mana-mana. Kadang-kala maklumat itu akhirnya membawa manusia jauh dari rahmat Ilahi. Apabila manusia sudah penuh dengan maklumat, maka mereka merasakan diri mereka sudah sempurna. Lihat sahaja bagaimana Charles Darwin menanggapi teori evolusinya sehinggakan dirinya sendiri terkeliru dengan kebenaran yang hakiki. Maklumat yang ada di dalam diri manusia tidak mencukupi untuk menggelarkan diri mereka sebagai ilmuan.

Akhirnya, jadilah mereka seperti robot atau komputer yang menyimpan banyak maklumat. Mereka hanya perlu menekan suis-suis tertentu, maka input dan output akan terhasil. Sedangkan konsep ilmu dalam Islam adalah lebih besar daripada itu. Ilmu memerlukan 'tadabbur'. Apabila perkataan 'berfikir' digunakan, ia bererti aktiviti menggunakan organ otak. Apabila perkataan 'tadabbur' digunakan, maka ia bermaksud aktiviti hati.

Seperti yang dikatakan oleh Prof Sidek Baba, jiwa ilmuan akan memiliki jiwa tadabbur. Jiwa tadabbur hanya terbangun apabila ada unsur rabbani dalam diri manusia. Unsur rabbani pula hanya akan terlahir apabila manusia kembali kepada fitrah sebenar kejadiannya.

Segala jenis maklumat yang diperolehi oleh para pelatih kedoktoran pada masa kini dipelopori oleh Barat, yang kebanyakannya tidak mempercayai konsep ilmu itu sendiri. Sebab itu, istilah 'profesional' timbul di celah-celah kekusutan Barat menangani kemelut Gereja dan Saintis. Pelbagai istilah lain juga timbul yang akhirnya bermaksud mengasingkan aspek 'ruhaniah' dan 'jismiah' sesuatu ilmu itu.

Lalu apabila ditanya kepada para pelajar perubatan, apakah yang mereka mahu jadi selepas ini? Maka ramai yang akan menjawab, untuk menjadi doktor yang mampu mengubati ramai pesakit. Pelafazan itu nampaknya seperti biasa, kerana masyarakat sudah menjadikan unsur materialis sebagai suatu kebiasaan. Ramai yang tidak lagi mempercayai unsur batiniah atau idelisme yang berbentuk kesamaran atau tidak dapat dianalisis oleh pancaindera manusia.

Mereka kira apabila sudah boleh mengubati ramai pesakit, maka mereka sudah berjaya. Sedangkan yang mengubati penyakit itu adalah Tuhan. Mereka mengambil kira dari sudut bilangan. Mereka juga mengambil kira dari sudut produktiviti kerja pesakit dan sebagainya. Inilah unsur materialistik yang meresapi diri petugas perubatan hari ini.

Jika dilihat kembali, ini adalah hasil daripada pandangan sarwa atau worldview yang diserapkan ke dalam diri mereka. Maklumat dilimpahkan sebagai sesuatu yang 'kosong'. Jika ditadabburkan, maka hasilnya pasti akan melahirkan ilmuan yang terbilang.

Sebagai konklusinya, sebenarnya, yang menjadikan manusia hidup bukanlah maklumat. Yang membezakan manusia dengan komputer adalah ilmu. Ilmu perlu ditanggapi dengan jiwa tadabbur, yang terhasil daripada 'mindset' atau pandangan sarwa yang betul dan tepat. Kekeliruan saintis pada masa kini adalah kerana mereka tidak mempunyai asas yang kuat tentang alam, kerana mereka tiada rujukan yang tetap. Mereka akan terus mengubah pendirian kerana alasannya, dunia sentiasa berubah. Mereka akan sentiasa dipengaruhi oleh 'perubahan' yang berlaku., sedangkan 'perubahan' pula dipengaruhi oleh kekuatan pengaruh sesuatu bangsa. Maka, adakah manusia akan terus menjadi lalang yang akan melentuk mengikut angin? Atau menjadi aliran air yang kuat yang akan menundukkan lalang ke satu arah yang tetap?


No comments: