Saturday, January 31, 2009

Waspada Denggi Chikungunya

Benarlah kata-kata, pada setiap nikmat itu ada ujiannya. Kemajuan material negara membawa ujian yang besar juga kepada kita. Di samping keruntuhan moral dan akhlak, kita juga diuji oleh penyakit-penyakit yang sukar untuk dikawal. Antaranya, Denggi dan Chikungunya.

Usah dibicaralah tentang penyakit-penyakit top and hi-fi yang lain, seperti AIDS, sakit kulit akibat pencemaran alam, dan sebagainya. Jangkitan virus semudah denggi pun kita sukar untuk kawal. Apakan tidak, manusia yang terbangun kini tidak mampu menyeimbangkan antara hak dan tanggungjawab masing-masing.

Pembangunan material yang megiurkan rupa-rupanya mensisihkan pembangunan sikap yang baik. Manusia kian alpa bahawa mereka punya tanggungjawab untuk menjaga setiap amanah pembangunan tersebut. Sampah sarap bersepahan di sana-sini. Akhirnya menjadi tempat takungan air. Si Aedes tertawa kegembiraan, menjumpai tempat sesuai untuk bertelur.

Anak si manusia menjadi mangsa anak si Aedes betina. Mulalah si manusia yang alpa itu mencari salah siapa. Semua pihak ditunjukinya, kecuali diri sendiri.

Selepas notifikasi dibuat oleh doktor yang merawat dibuat, datanglah anggota kesihatan ke rumah untuk foging. Si manusia alpa berdegil, tidak mahu membiarkan pasukan kesihatan melakukan tugas mereka di dalam rumahnya. Masing-masing tutup pintu, berkunci.

Datang lagi kes kedua, ketiga, dan seterusnya dari kawasan yang sama. Kawasan di mana manusia alpa tinggal. Masalahnya, mereka terus alpa. Sampah sarap merata-rata. Tidak mahu bekerjasama. Akhirnya diri yang merana. Kemudian dicari salah siapa. Semua orang salah kecuali dirinya sahaja.

Berubahlah wahai manusia. Ubah sikapmu sebelum terkena. Sampah sarap janganlah ada. Tutup tempat yang bertakung, jangan biar terbuka. Sikap berjiran perlulah dijaga. Penguatkuasa datang, berilah kerjasama. Kerja simple saja, janganlah banyak cerita. Setiap minggu, 10 minit saja. Periksa setiap sudut rumah dan luar, jangan lupa. Ada pembiakan jentik-jentik, buanglah segera. Basuh bekas tersebut, dan berwaspada sentiasa.

Barulah hidup aman sejahtera. Sihat sejahtera, buanglah dosa. Sikap mementingkan diri sendiri jauhkanlah. Siapa kita di hadapan yang Maha Esa? Hanya sekelumit daripada berbillion hamba-hambaNya. Buang ego, buang selama-lamanya.

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!







-iwanmohamad-

Friday, January 30, 2009

PRK sudah berlalu...

Assalamualaikum, salam sejahtera...

Pilihanraya Kampus yang paling kotor...itulah kata-kata yang dikeluarkan oleh sdr. Saifullah Zulkifli selepas pengisytiharan pemenang PRK di Gombak. Benarkah kenyataan tersebut?

Sebenarnya, mungkin ini adalah di antara PRK yang kotor, tetapi mungkin bukan yang terkotor. Manakan tidak, kawan tiba-tiba menjadi lawan. Beliau mengeluarkan kata-kata itu sambil mengoyakkan risalah yang wujud semasa PRK baru-baru ini untuk memburuk-burukkan PKPIM di hadapan para penggerak WUFI.

Tidak tahulah siapa punya angkara risalah itu. Mungkin WUFI, dan mungkin juga pihak lain. Siapapun dia, ini adalah kerja yang keji tatkala kita berusaha untuk mematangkan dan menjernihkan suasana politik di kampus tercinta.

WUFI bermain dengan politik ala-pembangkang, dan Aspirasi bermain dengan politik ala-BN. Macam mana mahu bersih politik kampus kita? Kita generasi baru, diamanahkan untuk menjadi kelompok yang akan mencorak suasana politik negara. Bersihkan dahulu suasana politik kampus! Bukan BN atau PR yang kita mahukan di kampus, tapi mahasiswa!

Biarlah WUFI mahu tampil dan isytihar bahawa diri mereka menang. Walaupun sebenarnya, seingat-ingat saya, ramai calon-calon yang datang bertemu saya untuk meminta khidmat nasihat, kerana mereka tidak percaya dengan pimpinan WUFI yang bias, ramai di antara mereka mahu menjadi calon yang bebas, bukanlah calon WUFI. WUFI hanya batu loncatan bagi mereka.

Sebenarnya, pada diri mahasiswa itu ada karamah insaniyyahnya tersendiri. Kita tidak perlukan kelompok yang berjuang atas prinsip parti politik, seperti WUFI ataupun Aspirasi (walaupun WUFI kadang-kadang menafikannya). Gelanggang politik kampus bukanlah gelanggang politik nasional. Buat apa mahu didewakan sangat politik nasional yang penuh dengan kerosakan?

Kita bentukkanlah suatu model sistem politik yang kukuh, yang bebas daripada batasan parti politik dan permusuhan. Perpolitiklah dengan dasar kasih sayang. Biar apapun pegangan politik masing-masing, janganlah dibawa masuk perkara tersebut ke dalam kampus. Biarkan mahasiswa berfikir secara meluas dahulu sebelum membawa mereka ke aliran pemikiran kelompok-kelompok tertentu. Semoga masa depan politik kampus akan lebih murni dan telus...


-iwanmohamad-

Monday, December 8, 2008

Bukit Antarabangsa: Erti Pengorbanan Sebenar...

Mengambil peluang keterlibatan saya dengan aktiviti sukarelawan di Bukit Antarabangsa semalam, di lubuk hati saya muncul rasa kerdilnya kita di bawah kuasa Tuhan Pencipta Alam. Allahuakbar!

Saya bersyukur kerana sempat menyumbangkan sedikit tenaga saya membantu mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa itu. Bukanlah banyak yang mampu disumbangkan. Tetapi diharapkan agar sumbangan kerdil ini sekurang-kurangnya dapat menenangkan hati mereka yang terlibat.

Malam setibanya saya di rumah kakak di USJ, saya mendapat mesej daripada rakan seperjuangan, Wahid, tentang misi bantuan Biro Kesihatan Abim pada keesokan harinya. Rasa malas memang ada, tetapi kerana semangat volunteerisme yang mengalir bersama darah ke seluruh tubuh (gempak benar bunyinya), rasa itu dengan mudah mengatasi rasa malas. Budaya 'Hidup Biar Berjasa' yang dipegang oleh pendukung PKPIM insyaallah dijadikan amalan. Keesokan paginya, terus saya bergegas ke Anjung Rahmat dengan menumpang kereta senior, Dr. Syazni.

Setibanya di sana, rakan-rakan seperjuangan sudah sedia menunggu. Kami diberikan sedikit taklimat oleh ketua misi kami, Dr. Saifullah. Gabungan PKPIM, BKA (Biro Kesihatan Abim), dan GPM (Global Peace Mission) ini membentuk tiga kumpulan asas; untuk membantu pasukan kesihatan, membantu pasukan logistik, dan membantu pasukan kaunseling. Kami bergerak terus ke penempatan penduduk di Sekolah Hulu Kelang.


Setibanya kami di penempatan tersebut, kami disambut oleh penjaga di situ. Pada ketika itu, penempatan itu tidaklah sesibuk yang disangkakan. Ramai penduduk yang datang dan mendaftarkan diri sahaja, kemudian keluar untuk menginap di tempat lain. Apa yang kami lakukan ialah membantu kumpulan perubatan melayan pesakit. Saya membantu menenangkan pesakit yang kebanyakannya agak berumur, dibawa ke situ oleh helikopter kerana darah tinggi.

Keadaan menjadi semakin sibuk menjelang tengahari. Kami bersyukur kerana Allah telah mengaturkan hari tersebut menjadi redup. Ini memudahkan pekerja menjalankan tugasan mereka. Bunyi helikopter silih berganti membawa makanan, barangan, pesakit, VIP, dan wartawan. Setiap kali helikopter mendarat atau berlepas, terutamanya helikopter besar kepunyaan BOMBA, bumbung akan berterbangan. Sekali-sekala berlaku kekecohan akibat keadaan begitu.

Saya melayani pesakit di dalam bilik rawatan, ketika tiba-tiba sekumpulan wanita berpakaian merah masuk ke bilik rawatan. Bersama-sama mereka sekumpulan wartawan. Rupa-rupanya Datuk Shahrizat datang melawat. Pesakit saya tadi meminta saya untuk terus berada di sisinya kerana dia tidak suka ramai orang sebegitu. Tekanan darahnya kekal pada tahap tinggi. Sempatlah berborak dengan Datuk Shahrizat.


Sebelum beliau, ramai lagi politikus-politikus menjenguk. Kehadiran mereka kadangkala menggusarkan pesakit kerana mereka datang secara beramai-ramai. Inilah yang membimbangkan kami, pekerja kesihatan.

Kami pulang pada jam 5 petang. Saya mengambil kesempatan ini sebagai suatu pengalaman yang akan mematangkan saya. Melibatkan diri di dalam kegiatan sebegini sebenarnya membentuk diri kita supaya lebih fleksibel dan mampu bekerja dengan orang lain. Kita dapat melatih diri kita agar sentiasa merendahkan diri. Pada masa yang sama, kita dapat meningkatkan lagi kemahiran klinikal kita dan kemahiran sosial. Inilah sepatutnya yang menjadikan kita seorang yang lebih bernilai berbanding orang lain.

Bagi seorang pejuang, inilah pengorbanan yang perlu dilakukan walaupun pada hari raya. Kepada mangsa, tabahlah kerana Tuhan pasti ada bersama dengan anda. Insyaallah pengorbanan kita ini akan diangkat oleh Allah pada hari akhirat kelak...


p/s: Kepada mereka yang berminat untuk menyertai misi sebegini, hubungilah saya!

Tuesday, December 2, 2008

MSC RE-ENGINEERING: "Mengakar, Merimbun, Menjulang"

Assalamualaikum

Happy studying!

I'm not that eager to give my comment on the MSC. Basically, there are already people who would like to do so. Thus, I would rather stand behind them and look if there is anything else I can do.

Things change. If Obama won his election with the theme of 'Change', and Anwar won his struggle with the theme of 'Reformasi', I believe that change is the best solution for now. Then, I've changed my mind. I think that it is a need for me to do something to elevate the status of MSC with my own way....(Selanjutnya..)

Di Bawah Runtuhan Melaka Lama

Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkantung
Berputik lutut berputus asa

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, imanpun teguh
Zaman hadapan penuh harapan.

(HAMKA)

Saturday, October 25, 2008

Puisi Ayahanda Siddiq Fadzil

Tatkala membelek buku 'Mensyukuri NIkmat Menginsafi Amanat', hati tersentuh apabila terbaca puisi beliau berkenaan semangat merdeka generasi muda:

BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA

Lima dasawarsa yang lalu
aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
hanya ikut-ikutan melulu
memekik "Merdeka! Hidup Tunku!" bertalu-talu.

Hingga tiba ketika aku berani bertanya
ruh dan makna sepatah kata,
meminta bukti nyata sebuah cerita
"Merdeka".

Kutadah segala madah
kuperah khazanah hikmah
kutemukan daulat karamah insaniyah
mulia perkasa dengan al-izzah.

Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah
merdekaku meraih izzah
Deklarasi syahadah: La ilaaha illa Lllah
menyanggah berhala seribu wajah
mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.
Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira merdeka bukan Tunku sahaja
ramai yang mendahuluinya.

Mendadak aku bertanya
sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita,
julingkah mata sarjana
apabila tidak bersuara
tentang pahlawan tak dikenang
wira tak didendang?

Lima dasawarsa lamanya
banyak kata belum terkota
banyak lagi rupa tak seindah berita.

Bagi generasi yang semakin tak mengerti
kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
dan mereka semakin tak peduli.

Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
matilah rasa hilanglah peka
betapapun gegak gempitanya
pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
bila setan korupsi menggoda,
"Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?"

Gejala pesona yang kian menggila
menginjak takwa menganjak jiwa
merdeka dengan ketuhanan Yang Maha Esa
menjadi hamba kewangan yang "maha berkuasa".

Pada Hari Merdeka yang ceria
kusimpan tangis di balik tawa
kupendam cemas di tengah pesta.
Akan terjualkah merdeka kita?


Siddiq Fadzil,
31 Ogos 2007

Saturday, October 4, 2008

Kalau sudah serasi di hati...

Salam semua…

Saya sedang berada di rumah kakak yang berada di USJ. Hari ini saya akan bertolak ke Kuantan untuk meneruskan misi perjuangan di sana. Saya akan menumpang Kurshid, rakan yang setia dengan perjuangan...

(salanjutnya...)