Assalamualaikum, salam sejahtera...
Pilihanraya Kampus yang paling kotor...itulah kata-kata yang dikeluarkan oleh sdr. Saifullah Zulkifli selepas pengisytiharan pemenang PRK di Gombak. Benarkah kenyataan tersebut?
Sebenarnya, mungkin ini adalah di antara PRK yang kotor, tetapi mungkin bukan yang terkotor. Manakan tidak, kawan tiba-tiba menjadi lawan. Beliau mengeluarkan kata-kata itu sambil mengoyakkan risalah yang wujud semasa PRK baru-baru ini untuk memburuk-burukkan PKPIM di hadapan para penggerak WUFI.
Tidak tahulah siapa punya angkara risalah itu. Mungkin WUFI, dan mungkin juga pihak lain. Siapapun dia, ini adalah kerja yang keji tatkala kita berusaha untuk mematangkan dan menjernihkan suasana politik di kampus tercinta.
WUFI bermain dengan politik ala-pembangkang, dan Aspirasi bermain dengan politik ala-BN. Macam mana mahu bersih politik kampus kita? Kita generasi baru, diamanahkan untuk menjadi kelompok yang akan mencorak suasana politik negara. Bersihkan dahulu suasana politik kampus! Bukan BN atau PR yang kita mahukan di kampus, tapi mahasiswa!
Biarlah WUFI mahu tampil dan isytihar bahawa diri mereka menang. Walaupun sebenarnya, seingat-ingat saya, ramai calon-calon yang datang bertemu saya untuk meminta khidmat nasihat, kerana mereka tidak percaya dengan pimpinan WUFI yang bias, ramai di antara mereka mahu menjadi calon yang bebas, bukanlah calon WUFI. WUFI hanya batu loncatan bagi mereka.
Sebenarnya, pada diri mahasiswa itu ada karamah insaniyyahnya tersendiri. Kita tidak perlukan kelompok yang berjuang atas prinsip parti politik, seperti WUFI ataupun Aspirasi (walaupun WUFI kadang-kadang menafikannya). Gelanggang politik kampus bukanlah gelanggang politik nasional. Buat apa mahu didewakan sangat politik nasional yang penuh dengan kerosakan?
Kita bentukkanlah suatu model sistem politik yang kukuh, yang bebas daripada batasan parti politik dan permusuhan. Perpolitiklah dengan dasar kasih sayang. Biar apapun pegangan politik masing-masing, janganlah dibawa masuk perkara tersebut ke dalam kampus. Biarkan mahasiswa berfikir secara meluas dahulu sebelum membawa mereka ke aliran pemikiran kelompok-kelompok tertentu. Semoga masa depan politik kampus akan lebih murni dan telus...
-iwanmohamad-
No comments:
Post a Comment