Saturday, January 31, 2009

Waspada Denggi Chikungunya

Benarlah kata-kata, pada setiap nikmat itu ada ujiannya. Kemajuan material negara membawa ujian yang besar juga kepada kita. Di samping keruntuhan moral dan akhlak, kita juga diuji oleh penyakit-penyakit yang sukar untuk dikawal. Antaranya, Denggi dan Chikungunya.

Usah dibicaralah tentang penyakit-penyakit top and hi-fi yang lain, seperti AIDS, sakit kulit akibat pencemaran alam, dan sebagainya. Jangkitan virus semudah denggi pun kita sukar untuk kawal. Apakan tidak, manusia yang terbangun kini tidak mampu menyeimbangkan antara hak dan tanggungjawab masing-masing.

Pembangunan material yang megiurkan rupa-rupanya mensisihkan pembangunan sikap yang baik. Manusia kian alpa bahawa mereka punya tanggungjawab untuk menjaga setiap amanah pembangunan tersebut. Sampah sarap bersepahan di sana-sini. Akhirnya menjadi tempat takungan air. Si Aedes tertawa kegembiraan, menjumpai tempat sesuai untuk bertelur.

Anak si manusia menjadi mangsa anak si Aedes betina. Mulalah si manusia yang alpa itu mencari salah siapa. Semua pihak ditunjukinya, kecuali diri sendiri.

Selepas notifikasi dibuat oleh doktor yang merawat dibuat, datanglah anggota kesihatan ke rumah untuk foging. Si manusia alpa berdegil, tidak mahu membiarkan pasukan kesihatan melakukan tugas mereka di dalam rumahnya. Masing-masing tutup pintu, berkunci.

Datang lagi kes kedua, ketiga, dan seterusnya dari kawasan yang sama. Kawasan di mana manusia alpa tinggal. Masalahnya, mereka terus alpa. Sampah sarap merata-rata. Tidak mahu bekerjasama. Akhirnya diri yang merana. Kemudian dicari salah siapa. Semua orang salah kecuali dirinya sahaja.

Berubahlah wahai manusia. Ubah sikapmu sebelum terkena. Sampah sarap janganlah ada. Tutup tempat yang bertakung, jangan biar terbuka. Sikap berjiran perlulah dijaga. Penguatkuasa datang, berilah kerjasama. Kerja simple saja, janganlah banyak cerita. Setiap minggu, 10 minit saja. Periksa setiap sudut rumah dan luar, jangan lupa. Ada pembiakan jentik-jentik, buanglah segera. Basuh bekas tersebut, dan berwaspada sentiasa.

Barulah hidup aman sejahtera. Sihat sejahtera, buanglah dosa. Sikap mementingkan diri sendiri jauhkanlah. Siapa kita di hadapan yang Maha Esa? Hanya sekelumit daripada berbillion hamba-hambaNya. Buang ego, buang selama-lamanya.

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!







-iwanmohamad-

No comments: