Sunday, May 19, 2013

Rancang Percutian?


Jangan Pakai Kain!

                Semasa saya mengikuti kursus Tunas Muda MRA (Malaysian Relief Agency) pada tahun lepas, saya dapati program ini sangat berguna kepada sukarelawan di lapangan. Program ini sebenarnya adalah untuk melatih sukarelawan yang baru berjinak dengan kerja masyarakat tentang persiapan dan kesiapsiagaan yang perlu ada dalam situasi yang pelbagai.

                Program ini dijalankan di Pos Bersih, Slim River. Ia adalah satu perkampungan Orang Asal yang terletak agak terpencil daripada dunia luar. Program ini menjadikan simulasi bahawa ‘Lokasi tersebut sedang menghadapi kemarau teruk’. Kumpulan peserta adalah daripada pelajar universiti-universiti dalam dan luar Negara.

                Dalam satu taklimat yang diberikan oleh seorang jurulatih, katanya, untuk gerak kerja dalam kawasan bencana, setiap sukarelawan perlu sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan. Setiap sukarelawan perlu pandai menjaga diri masing-masing. Mereka tidak boleh menjadi beban kepada orang lain. Sebab itu, latihan sebegini adalah sangat penting sebelum terlibat di lapangan.

                “Sebelum tidur, pastikan beg sudah dikemas dan tiada barang yang berselerakan. Jika berlaku apa-apa, maka akan ada arahan supaya ‘evacuation’. Pada ketika itu, tidak boleh lagi menyusun barangan; kamu perlu ambil beg dan terus beredar. Ingat, ambil...dan pergi!”

...” dan satu lagi....JANGAN TIDUR PAKAI KAIN sahaja”

Sama juga dengan ahli gerakan. Setiap daripada kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan. Kesiapsiagaan kita perlu ada pada tahap maksimum. Kadangkala, rancangan jemaah lain sama sekali daripada perancangan kita. Maka mahu tidak mahu, kita kena turuti....

Ingat....JANGAN PAKAI KAIN JE...takut terlucut ketika berlari....

Saturday, May 18, 2013

Keluarga Faciteam dan PKPIM UIAM Kuantan... Sedia?!

New appearance....New me...

     Seperti yang anda perasan, wajah blog saya sudah berubah. Perubahan memerlukan suatu tenaga baru. Tanpa tenaga, perubahan tidak akan berlaku.
     Jika kita mahu menolak sebuah bola salji, sedikit tenaga diperlukan. Lama-kelamaan, apabila bole salji itu sudah mempunyai momentum sendiri, ia akan bergolek sendiri.
     Begitu juga saya...perubahan perlu dilakukan untuk menjadi lebih baik. Laman blog ini sudah lama terbiar. Perlu ada penambah-baikan. Saya sendiri tidak pasti sampai bila ia akan berlaku. Tapi, biarlah ianya berlaku dengan perlahan-lahan. Saya masih belajar blogging...

p/s: Lebih baik buat sekarang... kesannya, mungkin 10 tahun akan datang....

Thursday, March 24, 2011

Perubatan Nabawi: Kemestian bagi Doktor Muslim

Perubatan Nabawi: Kemestian bagi Doktor Muslim

Pengenalan
Dalam menyelusuri sejarah perkembangan ilmu perubatan, terlalu banyak peristiwa yang berlaku yang membawa kepada perkembangan dalam ilmu perubatan. Tidak dapat dinafikan, perkembangan yang pesat ini telah menyebabkan pelbagai polisi kerajaan berubah untuk menangani revolusi tersebut, sehinggakan pelajaran Sains dan Matematik terpaksa dipelajari dalam Bahasa Inggeris. Ini bagi mengatasi masalah kekangan penguasaan bahasa dalam proses menyelidiki dan memahami ilmu moden dan terkini, termasuk ilmu dalam bidang perubatan. Namun, dalam keghairahan mengejari kepesatan perkembangan ilmu perubatan, perlu juga kita meneliti kembali sejarah, atau disebut di sini sebagai proses revolusi itu, yang membawa kepada kondisi kita pada masa kini.

Prof Syed Muhammad Naquib, seorang sarjana Islam, ada menerangkan bahawa bidang ilmu dunia akan terus berkembang dari pembentukan suatu thesis, kepada anti-thesis, dan seterusnya membentuk satu synthesis yang baru . Namun, walaupun setiap ilmu akan berkembang pesat, ada juga yang tetap kekal dan tidak berubah, iaitu ilmu Islam, atau lebih tepat Al-Quran dan As-Sunnah. Oleh itu, adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa kajian Hadith dan Al-Quran perlu dijadikan asas kepada setiap cabang ilmu yang ingin dipelajari oleh seseorang muslim sebelum menerokai dan melayari lautan ilmu yang lebih besar. Ini juga merupakan asas Pandangan Hidup Islam. Dalam penulisan ini, konteks hadith sebagai sumber rujukan dalam bidang perubatan akan diterangkan secara ringkas. Sudah pasti petikan ini bukanlah yang terbaik untuk dijadikan rujukan, namun bolehlah diambil sedikit manfaat daripadanya.

Keutamaan Hadith bagi Muslim
Manakala bagi seorang doktor Muslim pula, sudah sepatutnya menjadi suatu kerinduan kepada mereka untuk mempelajari dan mendalami hadith dan ayat Quran yang ada kaitan dengan bidang mereka. Terdapat banyak hadith yang menceritakan tentang cara perubatan Nabi S.A.W dan bagaimana Baginda mengubati (menuruskan: manage) sesuatu penyakit. Sangat menarik apabila kita dapati, banyak hadith yang menunjukkan Nabi mengubati sesuatu dengan pelbagai cara yang tidak pernah dipelajari oleh kita kini.

Namun begitu, perlu diingat oleh kita semua, bahawa Baginda bukanlah diturunkan sebagai seorang doktor atau tabib, tetapi sebagai seorang Rasul, pembawa agama Allah. Sudah semestinya, bukanlah keutamaan Baginda untuk mengajar kita tentang perubatan. Inilah yang perlu difahami supaya kita kekal di atas jalan moderat. Sebab itu, adalah salah bagi seseorang untuk menyandarkan sepenuhnya pada perubatan yang ada di dalam ahadith Rasul, tanpa ada kajian-kajian lanjut dan mengetepikan terus perubatan selain apa yang tersebut dalam ahadith tersebut.

Meskipun begitu, adalah perlu bagi kita untuk mempelajari tentang bagaimana cara Baginda menerima atau merawati penyakit. Dari satu aspek, belajar dan beramal dengan perubatan Nabawi akan memberikan kekuatan keimanan kepada pengamalnya. Selain itu, ia akan menambahkan pahala kerana si pengamal kerana beramal dengan sunnah Rasul. Ia juga adalah suatu pedoman yang diajarkan oleh Allah melalui RasulNya kepada hambaNya tentang cara yang terbaik untuk merawati sesuatu penyakit.

Ilmu perubatan dalam Hadith: Retorik atau Pragmatik?
Timbul beberapa persepsi atau persoalan tentang kewajaran beramal dengan Perubatan Nabawi, sedangkan ada sesetengahnya tidak dapat dibuktikan melalui kaedah pembuktian moden. Tetapi, wajarkah kita menolak hadith-hadith tersebut hanya kerana ianya tidak dapat dibuktikan dengan kaedah yang dibentuk oleh perubatan moden?

Persoalan ini timbul kerana kita sudah terbiasa dengan satu kaedah untuk menentukan tahap validity sesebuah maklumat. Kaedah tersebut ialah kaedah Evidence-based Medicine (EBM). Namun begitu, EBM sendiri mempunyai kecacatan yang nyata. Antaranya, EBM akan menyebabkan bidang perubatan dikuasai oleh mereka yang kaya, terkenal, dan mempunyai jaringan yang luas. Ia mementingkan ‘kaedah penulisan’ dan ‘teknikaliti’ yang akhirnya menutup kebijaksanaan sesuatu ilmu. EBM juga, dari segi falsafahnya, membawa agenda modernisme dan sekularisme, kerana mengasingkan antara agama dengan kehidupan. Sedangkan bagi Islam, agama dan kehidupan adalah satu unsur yang bersepadu. Maka nilai Hadith bagi kita ada tempatnya dalam perubatan. Ada juga perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan kaedah yang digariskan oleh EBM, contohnya keimanan dan ketakwaan. Maka, perkara ini akan mewujudkan pertembungan antara peyokong EBM dan penentangnya.

Dalam satu hadith, Rasul S.A.W menyuruh sahabatnya meminum madu apabila beliau mengadu sakit perut. Beberapa kali dicuba, masih juga tidak berjaya. Rasul terus menyuruh sahabat tersebut minum madu, sehingga semubuh. Beliau bersabda, “…benarlah kata-kata Allah, dan perut lah yang berdusta”. Ini menunjukkan bahawa, walaupun dari segi logic akal, perkara tersebut ‘seperti’ tidak berguna, tetapi sebenarnya, apa yang diajar oleh Nabi adalah wahyu dari Allah, dan Allah adalah pemilik dan pencipta semua manusia. Tidakkah Yang Mencipta itu lebih tahu tentang ciptaannya?
Dalam pada itu, Rasul S.A.W tidak pernah melarang daripada berubat dengan tabib-tabib pada zaman Baginda, kecuali pada yang terlarang. Beberapa ketika seperti yang dilaporkan di dalam hadith, Baginda sendiri menyuruh sahabat mencari tabib yang pandai mengubati penyakit-penyakit tertentu, contohnya bisul. Maka, tidaklah menjadi kesalahan untuk berubat dengan kaedah yang lain. Bahkan, itu adalah yang terlebih baik, jika ternyata kaedah tersebut adalah yang terbaik untuk penduduk di kawasan tersebut pada masa tersebut.

Persoalan yang dinyatakan di atas adalah yang menjadi persoalan yang perlu ditangani dengan baik oleh para doktor Muslim. Ini kerana, hadith tidak sewajarnya diletakkan pertimbangannya sama tahap dengan sumber-sumber rujukan yang lain. Jika tidak ditanggapi dengan baik, maka akan muncullah ilmuan dan doktor yang terpengaruh dengan agenda sekularisasi yang dibawa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, perlu bagi kita menggabung-jalinkan antara perubatan moden dengan perubatan nabawi. Persoalannya, bagaimanakah caranya? Persoalan ini sehingga kini masih belum dapat dijawab sepenuhnya, kerana usaha-usaha ilmuan yang cuba mengetengahkan isu ini akhirnya tidak sampai ke mana-mana. Konsep yang sama akan terus digunakan dan tidak ada pembaharuan yang tercapai. Konsep dikotomi tetap tertonjol sebagai The main-stream dalam pengamalan dan diri umat.

Pemahaman Membentuk Amalan
Kenapa perlunya perkara di atas diterangkan secara teoretikal dan teknikal? Inilah yang akan membentuk pemahaman atau worldview yang akan menyebabkanmanusia bergerak dan beraktiviti di dalam lingkungan pemahaman tersebut. Jika tidak, manusia akan bergeak mengikut arus perdana yang akan merosakkan, sama saja robot yang diprogramkan. Akhirnya terjadilah kekacauan di sana-sini terutama dari segi nilai dan etika kerja.

Kerangka pemahaman yang perlu difahami, secara ringkasnya, ialah bahawa setiap umat Islam perlu mengutamakan dua sumber dalam apa juga aspek kehidupan termasuk perubatan, iaitu Quran dan Sunnah. Jika ada pertembungan antara dua sumber ini dengan penemuan moden, maa perlulah dimuliakan dua sumber ini dan dikaji dengan lebih lanjut tentang penemuan moden itu. Umat Islam pula tidak boleh menolak terus penemuan moden selagi ia bertepatan dengan konsep perubatan yang digariskan oleh Islam. Bagi pengamal perubatan pula, perlu ada usaha dari mereka untuk menghubung jalin antara perubatan berpandukan hadith dan Quran dengan perubatan konvensional, mahupun dari segi teori, rohani, seterusnya amali. Sekurang-kurangnya, begi setiap prosedur yang mahu dlakukan, perlulah dibaca basmalah dan disudahi dengan Alhamdulillah. Ini menunjukkan usaha pengabung-jalinan antara konsep perubatan Islam dan moden, dan manifestasi keimanan bahawa hanya Tuhan yang menentukan beik-buruk sesuatu, dan Dialah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk para hambaNya.

Kesimpulan
Pemikiran, pemahaman, pandangan alam, seterusnya tindakan dan budaya sesuatu kaum banyak dipengaruhi oleh kebudayaan yang dominan dalam sesuatu masa tersebut. Pada masa kini, sudah pasti budaya yang mendominasi ialah kebudayaan Barat. Maka, tidak hairan ada ilmuan yang menganggap fenomena ini sebagai suatu usaha ‘Pembaratan’, walaupun ramai juga tidak bersetuju dengan istilah sebegini. Apa juga pertembungan yang berlaku, sebagai seorang pengamal perubatan, sudah menjadi kebiasaan untuk menjadi seorang yang praktikal, dan bukan filosofikal. Maka, adalah wajar bagi kita untuk memilih sendiri cara kita untuk menghubung-jalinkan ilmu perubatan Nabawi dan Qurani dengan perubatan Moden yang diamalkan oleh kita pada masa kini. Seperti yang dinyatakan di atas, sekurang-kurangnya kita mulakan setiap tindakan dengan basmalah dan doa penyerahan diri kepada Allah, dan diakhiri dengan hamdallah dengan doa kebaikan kepada pesakit. Mudah-mudahan usaha kecil kita ini akan menghasilkan impak yang besar serta menjana ‘undercurrent’ yang hebat, yang akan menambahkan kebaikan kepada diri sendiri dan pesakit. Mudah-mudahan pemahaman terhadap Perubatan Islami akan dapat diperkemaskan lagi pada masa akan datang.

Monday, February 28, 2011

MO...oh MO...


Salam perjuangan...

Sudah lama saya tidak menulis. Terasa janggal untuk memulakan semula hobi yang dah lama tertinggal dek kesibukan kerja. Gaya penulisan pun sudah berubah. KAlau dulu, mungkin lebih gemar gaya penulisan serius, tapi sekarang mugkin gaya yang lebih bersahaja. Apapun, mudah-mudahan kerja ini sentiasa dapat dibuat...

Mugkin kali ini saya akan lebih menumpukan kepada kepada perkara yang berlaku di sekitar saya... maka tak perlulah dilakukan 'homework' sangat.

Permulaan cerita, adalah tentang MO. Bagi mereka yang belum tahu, MO adalah Medical Officer, jawatan selepas tamat 'housemanship' (sama ada setahun atau dua tahun). Mereka adalah lebih 'inferior' daripada Pakar, dan lebih 'superior' daripada 'houseman'. Cukuplah awdikit sebanyak tentang definisi.

Macam-macam jenis MO yang ada. Ada yang jenis 'malignant' dan ada yang jenis 'friendly'. Secara umumnya, semua HO mahukan MO yang friendly... supaya senang proses pembelajaran berlaku. Memang boleh juga belajar kalau MO 'ntah apa-apa', tapi kalau boleh dengan cara yang baik, kenapa mahu lakukan dengan cara yang sebaliknya?

Selalunya, kalau sudah menjadi berkuasa, memang manusia aelalunya akan lupa diri. Kalau tidak berbekal kekuatan jatidiri, iman di hati, memang tidak ada lagi rasa bersalah atau rasa mahu berfikir sebentar. Memang, budaya kerja yang sangat meletihkan menyebabkan manusia kian hilang masa untuk berfikir. Apa lagi kalau individu tersebut memang tidak terlatih untuk berfikir.... hanya hidup untuk bekerja.

Kalian akan jumpa orang seperti ini. Aku sudah jumpa. Yang peliknya, yang 'gila-gila' ini adalah orang Islam. Malu aku dengan MO bukan Islam yang baik, berjiwa murabbi begitu...

Bagi semua HO yang bakal menjadi MO, ingatlah diri anda sebelum anda menjadi sebahagian daripada kitaran kebinasaan. Jadilah MO yang baik, berjiwa murni, dan baik kepada semua orang....

Tuesday, June 15, 2010

Pandangan Alam Islam Asas Perubatan Islam

Dalam memahami kerangka gagasan ini, asas yang paling utama ialah pemahaman Pandangan Alam Islam yang digariskan oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Alparslan Acikgenc, dalam bukunya yang mengulas tentang makna ‘Islamic Science’ menyatakan bahawa, segala aktiviti saintifik hanya akan berlaku di dalam ‘worldview’ yang memiliki struktur pendidikan yang bersifat saintifik. Manakala, aktiviti saintifik yang islamik pula hanya akan berlaku di dalam ‘worldview’ yang Islamik. Maka, asas perbicaraan adalah ‘Islamic Worldview’ itu sendiri, yang secara tidak langsung akan membentuk aktiviti saintifik yang Islamik.

Dalam kembara mencari makna Perubatan Islami ini, saya menemui pelbagai definisi yang diberikan oleh cendekiawan yang pelbagai. Saya menemui karya Prof Omar Hassan Kasule, yang memberikan definisi terhadap Perubatan Islamik. Definisinya kurang lebih sama dengan definisi yang diberikan oleh IIIT. Berlainan dengan defenisi yang diberikan oleh Dr. Danial dalam bukunya “Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden”, yang lebih menumpu kepada Perubatan Nabawi dan Qurani. Beliau mengambil definisi daripada pandangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah yang membahagikan kesihatan kepada fizikal dan rohani.

Namun, kembara ilmu saya masih belum menemui suatu makna yang boleh menemukan saya dengan keyakinan. Karya Prof Al-Attas dalam menerangkan Pandangan Alam Islam sahaja setakat ini memberikan sedikit-sebanyak ‘pencerahan’ kepada saya. Pendekatan beliau yang menekankan makna setiap satu, atau epistemologikal, memberikan pencerahan bahawa kecelaruan yang berlaku pada hari ini, sedikit sebanyak adalah sumbangan penjajahan yang berlaku sejak sekian lama. Penjajahan ini adalah dari aspek fizikal dan mental. Walaupun kebijajahan berlaku dalam aspek fizikalnya, namun spiritualnya dan mentalnya masih terjajah.

Bermula dari penjajahan fizikal, sedikit demi sedikit diserap masuk budaya dan bahasa, akhirnya cara berfikir. Oleh sebab itu, para cendekiawan islamis melabelkan fenomena ini sebagai ‘ghazwatul fikr’ atau ‘peperangan pemikiran’. Walaupun secara zahirnya, umat islam dan dunia amnya terlihat aman dan tenteram, namun dalam jiwanya penuh dengan kemelut dan konflik. Tiada ketenangan seperti yang terlihat dek mata kasar. Pertembungan pemikiran yang maha dahsyat membuatkan ummat menjadi keliru dan kacau pemahaman mereka.

Bagi Prof Syed Naquib, bukan umat sahaja yang terkeliru, bahkan para ilmuwan di kalangan mereka juga turut terkeliru. Ia dimulakan dengan penggunaan kata-istilah yang mengelirukan, yang akhirnya menyebabkan perbincangannya menjadi kacau-bilau. Tidak ketemu titik pertemuannya antara Islam dan Dunia. Inilah yang meracuni dunia keilmuan pada masa kini, menurut beliau. Kerana makna yang satu dipisahkan terus dengan unsur uluhiyyah, dan yang satu lagi berkait rapat. Perpisahan inilah yang dikatakan sekularisasi. Seterusnya berlaku lagi pengembangan kepada pemikiran modernisme dan post-modernisme. Mungkinkah istilah 'Modern Medicine' terkait secara maknawi dengan pemkiran modernisme?

Lantaran itu, beliau menggagaskan gagasan Islamisasi Ilmu untuk mengembalikan ‘pemahaman’ sebenar tentang dunia dan seluruhnya. Inilah gagasan yang menekankan pada faham setiap satu istilah dan kata, dari segi gunanya dan maknanya. Dan diusulkan bahawa pemahaman ini perlu disandarkan pada makna hakikinya, iaitu berdasarkan apa yang dimaknakan oleh Tuhan Pencipta, kerana Dialah Tuan setiap satu. Inilah yang dikatakan ‘Islamic Worldview’ seperti dinyatakan di atas.

Dr Adi Setia, seorang cendekiawan lepasan ISTAC yang kini mengajar di Kuliyah Ilmu Wahyu, UIAM, menggagaskan bahawa, ‘Islamic Science’ perlulah berteraskan kepada ‘Islamic Worldview’. Di luar teras itu, maka percambahan berlaku. Namun, percambahan itu tidak boleh terpisah daripada teras tersebut, bahkan mempunyai ciri ‘mempertahankan’ dan 'melindungi' teras tersebut. Oleh sebab itulah, setiap kajian yang dibuat oleh para ilmuan Islam terdahulu, pasti akan dkembalikan kepada ‘teras’ yang dimaksudkan di atas (seperti tulisan buku tersohor Al-Qanun).

Acikgenc berhujah, bahawa sebuah Pandangan Alam itu amat sukar untuk diukur kebenarannya, kerana sukar untuk menafsirkannya dalam bentuk kuantitatif. Ia tidak dapat dilahirkan dalam bentuk yang objektif. Maka, oleh itu, ramai yang tercampur-baur antara Pandangan Alam Islam dan Pandangan Alam yang bukan Islam sebagai terasnya. Dengan menerangkan secara panjang lebar, beliau cuba menjustifikasikan bahawa Pandangan Alam itu boleh terbentuk dengan dua keadaan; iaitu secara pasif atau secara aktif. Pandangan Alam yang terbentuk secara pasif itulah yang lebih sukar untuk diukur, kerana pemiliknya sendiripun tidak sedar tentang Pandangan Alam yang dimilikinya.

Adapun kehadiran Rasulullah S.A.W itu adalah untuk membetulkan Pandangan Alam umat manusia supaya menjadi Pandangan Alam Islam yang benar. Ia berlaku secara aktif dan tersusun. Acikgenc telah menerangkan secara terperinci di dalam bukunya tentang perkara ini. Umat Islam, akhirnya memiliki kecerahan dari segi minda dan hati hasil dari pencerahan Ilahi yang dibawa Rasulullah S.A.W, sehinggakan mereka dapat berada di apeks kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Maka, inilah yang perlu didalami dan diperbahaskan dengan mendalam dan khusus oleh para ilmuan kita dalam menyelami Konsep Perubatan Islami. Tidak ramai yang sudi membicarakannya, kerana kepenatan yang teramat sangat. Allah sahaja yang mampu mengubah segalanya, dan memberikan kekuatan serta stamina kepada kita untuk menyelami perkara ini, supaya menjadi lebih terang dan tenang.

Seperti yang dinyatakan di atas, adalah amat sukar untuk diperbetulkan Pandangan Alam yang sudah lama tertanam dalam diri insan. Akhirnya, hanya mereka yang didatangkan oleh Allah dengan ketenangan dan hikmah sahaja yang dapat mengalami ketenangan jiwa. Biarlah Allah yang menentukan dan membuka hati dan minda kita semua supaya sentiasa dilimpahi hidayahnya…